suria

Petah dan santai... ‘wartawan cilik’ pegang mic lapor suasana pasar Bukit Selambau, siap panggil mak datin!

Muhammad Haziq Mohd Asyraf menjadi tular selepas membuat 'laporan' mengenai penemuan ular sawa.

WARTAWAN cilik yang tular kerana kepetahannya melaporkan penemuan seekor ular sawa dalam longkang menerusi Facebook Live, sekali lagi menjadi perhatian selepas menunjukkan bakat terpendamnya di hadapan kamera.

Menerusi rakaman terbaharu, adik Muhammad Haziq Mohd Asyraf 'melaporkan' pula situasi di Pasar Pagi Bukit Selambau, Sungai Petani selepas diberi peluang merasai pengalaman mewawancara secara langsung oleh kru Astro Awani.

Santai tanpa skrip, kanak-kanak berusia 12 tahun itu bukan sahaja mencuri perhatian kerana kepetahan membuat laporan langsung yang diselang seli loghat Kedah, malah dia mencuit hati netizen apabila menggelar ibunya yang juga peniaga di pasar berkenaan sebagai 'datin'!

Dengan lagak seperti wartawan sebenar, Muhammad Haziq turut mewawancara beberapa peniaga lain di pasar berkenaan.

Dalam pertemuan dengan kru Astro Awani, kanak-kanak itu memberitahu bahawa menjadi seorang wartawan adalah salah satu cita-citanya dan dia suka memegang mikrofon dan bercakap.

Dia mendedahkan video penemuan ular sawa pada Ahad lalu, adalah percubaan kali pertamanya membuat Facebook Live.

Siapa sangka, dalam kepetahannya berkata-kata, Muhammad Haziq sebenarnya sangat gemar memasak.

Dia mempunyai kemahiran membuat kek, karipap, donat dan juga wafel di mana hasil masakan dijual kepada orang ramai bagi tujuan menabung.

Muhammad Haziq turut belajar berniaga daripada bapanya Mohd Asyraf Ahmad, 37, yang merupakan peniaga di pasar Bukit Selambau.

Kanak-kanak dari Kampung Penghulu Tua ini mula tular dan mendapat julukan sebagai wartawan cilik selepas membuat laporan mengenai penemuan seekor ular sawa di dalam longkang di Pasar Pagi Bukit Selambau.

Menerusi perkongsian video itu, Muhammad Haziq menyampaikan laporan 'terkininya' mengenai penemuan reptilia berkenaan dengan begitu bersemangat sehingga termengah-mengah.

Apa yang menariknya, Muhammad Haziq berjaya menyampaikan 'laporannya' dengan lancar, petah dan penuh informasi mengenai kejadian berkenaan.

Sehingga kini video berdurasi dua minit dan 47 saat yang dimuat naik di Facebook Putra Mar meraih sehingga 22,000 shares selain dibanjiri ribuan komen netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain