suria

Jaga Apai, Chiko macam anak sendiri! Ramai kagum lihat jejaka ini bela haiwan, siap kongsi makanan - “Orang tua kata ‘tangan sejuk’...”

Kehadiran dua haiwan ini ternyata menjadi terapi dan penghibur kepada Mat Yip.

SELAIN ahli keluarga dan rakan-rakan, kehadiran haiwan peliharaan juga boleh menjadi pelengkap kepada kehidupan kita.

Begitu juga kisahnya dengan jejaka ini yang sering berkongsi video dia bersama haiwan-haiwan peliharaannya menerusi TikTok.

Paling mencuri tumpuan tentunya seekor tupai yang diberi nama Apai serta seekor lagi musang yang diberi nama Chiko.

ARTIKEL BERKAITAN: Apa saja demi haiwan! Dua gadis bergegas pergi kerja sanggup patah balik alih kucing mati, bangkai anjing pun pernah alihkan - “Kalau geli sekali pun, masih boleh tolong”

ARTIKEL BERKAITAN: Lipas, tikus, cicak jadi mainan wanita ini... tunang cuak kena sakat!

Menurut Muhamad Kusyairil, dia juga pernah membela burung kakak tua sebelum ini dan menyifatkan kehadiran haiwan-haiwan itu sebagai satu terapi buat dirinya.

"Bagi saya, bila balik kerja dapat bermain dengan haiwan-haiwan boleh buatkan saya rasa lega. Orang lain balik rumah mungkin ada anak untuk rasa tenang.

"Saya pula belum ada rezeki, haiwan-haiwan jadi tempat untuk saya luangkan masa dan leka seketika. Jaga mereka ibaratnya seperti jaga anak sendiri.

"Ada part seronok, ada part stres. Tapi pada saya, bela haiwan pun satu punca rezeki untuk kita," ujarnya yang baru mendirikan rumah tangga pada Mac lalu.

matyip3

Gelagat Chiko yang mencuri perhatian ramai.

Mesra disapa Mat Yip, dia mendedahkan tupai itu baru sahaja dibela sekitar dua bulan lepas manakala musang pula sudah setahun dipelihara.

Tambahnya, dia juga tidak kekok untuk menguruskan haiwan itu memandangkan sudah mempunyai pengalaman sejak kecil lagi ketika menetap di kampung halaman di Terengganu.

Chiko aktif waktu malam, Apai pula main waktu siang, malamnya akan tidur.

MUHAMAD KUSYAIRIL

"Saya dari kecil memang suka bela tupai. Bila dah dewasa dan berhijrah, rezeki saya jumpa Apai ketika sedang bekerja sekitar dua bulan lepas.

"Tupai ni susah nak jaga waktu kecil, penjagaannya rumit. Tapi saya dah terbiasa, jadi tiada masalah. Sepanjang saya bela haiwan, susah nak jumpa yang mati. Orang tua panggil 'tangan sejuk', serasi dengan haiwan.

"Chiko pula saya bela sejak ia kecil, masa tak sihat. Saya rawat sehinggalah dah OK. Saya juga pernah bela burung kakak tua.

"Dalam setahun setengah saya bela burung tu, kemudian terpaksa jual sebab ada kekangan masa ketika bekerja. Memang sedih sebab dah bela dari kecil, makan pun bersuap," ujarnya yang kini menetap di Klang, Selangor.

Dalam pada itu, Mat Yip mengakui terharu apabila perkongsian video dia dengan haiwannya meraih perhatian ramai di TikTok.

matyp4

Aksi comel Apai yang dikongsi menerusi TikTok.

Malah, ada individu turut menghantar mesej kepadanya untuk bertanya mengenai penjagaan haiwan, permohonan permit dan pelbagai soalan lain.

"Saya baru sebulan setengah buat TikTok. Sebelum ni saya fikir orang berjoget saja dalam TikTok. Saya tanya isteri, nak buat TikTok dan berkongsi mengenai Chiko dan Apai.

"Saya tak mengejar populariti. Saya nak tunjuk untuk mereka minat saja. Saya akan teruskan kerana nak berkongsi hobi.

"Ramai juga yang tanya tip menjaga haiwan. Saya juga ada kongsi video untuk apply lesen dan sebagainya," ujarnya lagi.

Menurut Mat Yip lagi, soal makan tidak begitu sukar memandangkan Chiko dan Apai suka makan buah.

matyip5

Chiko aktif pada waktu malam.

"Chiko biasanya suka makan buah yang tak masam. Antaranya betik, pisang, buah naga dan nangka.

"Apai juga tiada masalah, Apai makan apa saja yang Chiko makan. Saya pun suka makan buah, jadi boleh kongsi sekali," ujarnya.

Tambahnya lagi, dua haiwan itu juga sedikit berbeza, malah katanya Chiko sangat mesra dan mudah didekati sesiapa sahaja.

"Chiko jenis aktif waktu malam, Apai pula main waktu siang, malamnya akan tidur. Chiko juga mesra dengan sesiapa sahaja yang nak pegang, dia pasrah.

"Tapi saya tak boleh satukan mereka berdua, tak ngam," ujarnya berseloroh.

Sehingga kini, Mat Yip memiliki lebih 23,000 pengikut di TikTok.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain