suria

Bapa tenang galas tanggungjawab besarkan 4 anak autisme, seorang sakit jantung berlubang… ilmu Sains anak lelaki sulung memang power!

Video Amirul Haziq yang memberi penerangan tentang fungsi jantung menjadi tular baru-baru ini.

TIDAK dinafikan anak-anak autisme sering berjaya membuka mata masyarakat dengan keistimewaan, kemahiran dan kebolehan luar biasa yang dikurniakan kepada mereka.

Malah dunia kini yang mengakui golongan anak istimewa ini adakalanya lebih kreatif, bijak dan berbakat berbanding kanak-kanak normal.

Bapa kepada empat anak austisme, Zaqkhwan Zawawi, 35, berkata tugas menjaga anak istimewa ini tidak mudah apatah lagi dirinya memegang status sebagai bapa tiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiap hari hidangannya perlu ikut tema, Aqif si remaja unik... bukan hiper tingkah laku tapi fikiran - “Tahu 'Exit' maksud keluar tapi tak kenal huruf”

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan anggap mereka lemah... kanak-kanak autisme tunjuk skil di kolam renang saiz Olimpik

Bagaimanapun, selepas berdepan cabaran demi cabaran dia dan isteri seolah-olah tidak percaya melihat perkembangan positif yang ditunjukkan anak-anak mereka, khususnya anak kedua, Amirul Haziq yang kini berusia 14 tahun.

Sejujurnya saya sangat bersyukur Amirul dapat sampai ke tahap ini kerana mula-mula saya kenal dia ketika berusia 8 tahun, tahap autisme Amirul boleh dikatakan agak teruk.

"Proses kami membesar dan mendidiknya bukan mudah, saya akui ia mencabar tapi Alhamdulillah kami puas hati dengan hasilnya," katanya kepada mStar.

Video Amirul Haziq tular baru-baru ini apabila dia memberi penerangan tentang fungsi jantung dengan penuh yakin, seolah-olah dirinya seorang doktor atau pakar jantung.

Lebih menarik perhatian, pelajar SMK Bandar Tasik Selatan itu menyampaikan penerangan itu dalam Bahasa Inggeris tanpa merujuk sebarang nota.

Zaqkhwan menggalas tanggungjawab bersama isterinya membesarkan tujuh orang anak mereka.

"Amirul tak berlatih banyak kali pun masa isteri saya rakam video tu. Dia dengan yakin sampaikan ilmu yang dia ada dan kami sebagai ibu bapa berasa sangat bangga.

"Tak sangka pula video tu akan viral. Semua perkongsian yang dibuat isteri saya bertujuan beri motivasi kepada ibu dan bapa lain untuk percaya dengan keunikan yang ada pada anak autisme," katanya.

Bercerita mengenai ahli keluarganya, Zaqkhwan berkata dia mempunyai tujuh anak yang terdiri daripada lima anak tiri dan dua anak kandung, hasil perkahwinan dengan isterinya, Afifah Azian, 35, pada 2014.

Daripada lima anak tirinya, empat merupakan anak autisme dan seorang daripada dua anak kandungnya menghidap penyakit jantung berlubang.

Selain Amirul Haziq yang menghidap autisme dan dyslexia, pasangan ini kini sama-sama menggalas tanggungjawab membesarkan Aida Amalina, 16, Arif Syarafudin, 12, (autisme, asperger), Aida Afrina, 10 (dyslexia), Ahmad Danish, 8 (autisme, ADHD), Ayra Elise Zara, 4, (jantung berlubang) dan Adam Tuah Zaqkhary yang berusia satu tahun.

Jangan kita layan anak autisme ni macam budak-budak. Mereka bukan terencat akal, mereka ni autistik.

ZAQKHWAN ZAWAWI

BAPA

Mengenai tanggungjawab besar yang sanggup digalas oleh Zaqkhwan, dia yang kini bekerja sendiri kerana masa menghabiskan banyak masa di rumah menganggap semua ini sebagai takdir dan bersedia sepenuhnya untuk menjaga kesemua tujuh anak.

"Saya sedar apa yang perlu saya hadapi, tak mudah tapi inilah takdir.

"Saya sanggup terima isteri saya dan anak-anak kerana melihat tugas menjaga mereka sebagai satu peluang untuk saya membuat kebaikan, saya mencabar diri saya untuk menggalas tanggungjawab besar," katanya yang kini menetap di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Bercerita lanjut mengenai pengalaman membesarkan Amirul Haziq, Zaqkhwan berkata bermacam-macam usaha telah dilakukan tetapi paling penting ibu bapa perlu melayan anak-anak ini dengan cara yang sesuai.

"Jangan kita layan anak autisme ni macam budak-budak. Mereka bukan terencat akal, mereka ni autistik.



Sungguhpun merupakan remaja autisme dan disleksia, Amirul Haziq mengkagumkan ramai dengan pengetahuan ilmu Sains.

"Mereka boleh jadi matang sejajar dengan umur jika diberi pendedahan sebaiknya. Bukan ajar anak umur 20 tahun macam budak tadika. Pemikiran mereka langsung tak akan berkembang kalau kita besarkan mereka cara macam tu," katanya.

Tambahnya, Amirul Haziq juga tidak terlepas daripada berdepan pandangan serong masyarakat, malah pernah suatu masa dahulu dibuli oleh rakan-rakan di sekolah.

Dari segi pembelajaran, anaknya amat mudah menerima ilmu dan berfikiran di luar kotak selain mampu menjawab soalan-soalan sukar berkaitan sains.

"Dulu, ada satu tahap saya masuk dalam kelas dia beri taklimat pendek. Saya kenalkan anak autisme saya ni, bagi murid-murid kelas Amirul hadiah dan sebagainya.

"Tujuan saya buat macam itu nak mereka faham sememangnya anak autisme ini bukan cacat. Mereka juga macam orang biasa, cumanya ditakdirkan ada simptom autisme dalam diri," jelasnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain