suria

Pelajar B40 bakal nikmati kenaikan pinjaman PTPTN, RM8,000 bagi setiap semester

Kerajaan juga akan mengkaji cadangan untuk mengecualikan faedah pinjaman dan diskaun bayaran balik dalam tempoh moratorium.

BAGI pelajar dalam kalangan B40, ini berita baik untuk anda.

Terbaharu, kerajaan bersetuju menaikkan had jumlah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada RM6,800 kepada RM8,000 bagi setiap semester untuk golongan itu melanjutkan program diploma di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat pada Rabu berkata perkara itu tertakluk kepada simpanan bertakaful oleh IPTS berkenaan mulai tahun 2021.

“Pada masa sama, kementerian juga bersetuju untuk meluaskan pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman PTPTN kepada pelajar IPTS daripada keluarga B40 berdasarkan syarat kelayakan PTPTN mulai tahun 2021, ” katanya.

Selain itu, beliau berkata kementerian akan mengkaji cadangan untuk mengecualikan faedah pinjaman dan diskaun bayaran balik dalam tempoh moratorium selain memastikan kelestarian sumber kewangan PTPTN tidak terjejas untuk jangka masa panjang.

“Perkara itu masih dalam perbincangan bersama Kementerian Kewangan sebab apa juga tindakan oleh PTPTN adalah tertakluk juga kepada kelulusan Kementeri Kewangan kerana sumber dana adalah daripada kementerian itu, ” katanya.

Menjawab celahan Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) mengenai pemotongan Belanjawan 2021 kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) sehingga mencecah RM130 juta, Noraini menjelaskan pengurangan hanya melibatkan sejumlah RM3 juta atau 0.18 peratus.

Memperincikan perkara itu, beliau berkata ia berikutan jumlah peruntukan mengurus yang diterima UiTM pada tahun 2020 sebanyak RM1.861 bilion adalah termasuk peruntukan untuk Hospital UiTM (HUiTM), tetapi bagi tahun 2021 peruntukan itu telah diasingkan.

“Secara keseluruhannya, peruntukan untuk UiTM (tidak termasuk HUiTM) pada tahun 2020 adalah sebanyak RM1.737 bilion, manakala peruntukan untuk tahun 2021 adalah sebanyak RM1.733 bilion, iaitu pengurangan hanya sebanyak RM3 juta atau 0.18 peratus.

“Saya ingin maklumkan bahawa pengurangan sebanyak 0.18 peratus ini akan ditampung oleh pihak kementerian melalui penjimatan dalaman yang dilaksanakan, ” katanya.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ahmad Said, isteri disahkan positif Covid-19