suria

2 lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan, 5 kluster baharu dikesan... 834 kes positif

Petugas barisan hadapan membuat hebahan umum pendidikan kesihatan kepada penduduk di sekitar kawasan sasaran berisiko Covid-19 serta kawasan yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokaliti Saguking dan Kg Muslim dekat Labuan pada Sabtu. fotoBERNAMA

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 834 kes baharu, menjadikan keseluruhan 33,339 kes setakat Isnin.

Daripada kes baharu yang telah dilaporkan, tiga merupakan kes import manakala selebihnya adalah penularan dalam negara.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, terdapat dua pertambahan kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kematian 251 kes.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan dua kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 251 kes," katanya pada sidang media petang Isnin.

Kes kematian melibatkan masing-masing seorang warga negara berusia 88 tahun yang meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent dan wanita 75 tahun yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia.

Wanita tersebut menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Queen Elizabeth dekat Kota Kinabalu, Sabah.

Juga direkodkan 900 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 23,120 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, 91 kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, lima kluster baharu iaitu Kluster Pusat Tahanan Sementara Tawau, Kluster Tenaga (Labuan), Kluster Gedong, Kluster Wisma Saberkas (Kuching) dan Kluster Seri Dana (Putrajaya) dilaporkan pada Isnin.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain