suria

Bil elektrik tinggi hingga timbul rungutan rakyat, KeTSA dan Suruhanjaya Tenaga minta TNB beri penjelasan

KeTSA dan Suruhanjaya Tenaga telah memanggil pengurusan tertinggi TNB untuk memberi penjelasan mengenai kenaikan bil elektrik sewaktu tempoh PKP. Foto: Bernama

KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah memanggil Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memberi penjelasan berhubung kenaikan bil elektrik sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga menimbulkan rungutan rakyat.

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata KeTSA dan Suruhanjaya Tenaga (ST) telah memanggil pengurusan tertinggi TNB yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Isnin, yang akan disusuli dengan satu lagi mesyuarat esok (Selasa).

ARTIKEL BERKAITAN: Jenama TNB Kini Ke-6 Terbaik Di Malaysia

"Pengurusan tertinggi TNB diminta untuk membentangkan apa yang telah mereka laksanakan sepanjang tempoh ini bagi kita melihat isu yang dibangkitkan secara menyeluruh. Kita juga memberi peluang kepada mereka selepas mendengar rungutan dan kritikan rakyat.

"Saya difahamkan pada ketika ini, mereka (TNB) sedang memperhalusi semua perbincangan yang diadakan pagi tadi sebelum kita teliti lagi dengan lebih terperinci pada mesyuarat esok untuk mencari keputusan terbaik," katanya.

Shamsul Anuar berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, Temerloh yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa perkara akan dibawa ke peringkat atasan hasil daripada pertemuan itu dan berharap rakyat bersabar kerana kerajaan komited menyelesaikan isu itu dengan keutamaan kepada rakyat, selain memastikan TNB kekal memberikan perkhidmatan terbaik.

Ditanya jika TNB bakal dikenakan tindakan sekiranya melakukan kesilapan dalam pengiraan, Shamsul Anuar berkata: "TNB tidak boleh membuat sebarang kiraan dengan sewenang-wenangnya. Apa juga perkara yang hendak dilakukannya mesti mendapat persetujuan daripada ST sebagai badan penyelia dan pengawal kepada industri tenaga.

"Oleh itu, kita berkeyakinan bahawa ST dapat memastikan perkara ini diselesaikan dengan baik dan kita respons pada semua isu yang dibangkitkan. Saya faham ramai mahu keputusan segera, tetapi ini perkara penting yang perlu diteliti sepenuhnya," katanya. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

bil elektrik, TNB

Artikel Lain