suria

Umum PC harian terakhir... Pak Long Mail ingatkan rakyat jadi polis jaga diri, keluarga - “Tak ada lagi baju batik warna warni asas kuih, minuman”

Ismail Sabri mengumumkan sidang media hariannya berakhir hari ini. fotoBERNAMA

SELEPAS bersiaran secara langsung selama tiga bulan, sidang media Menteri Kanan (Keselamatan) tidak lagi akan dijadikan rutin harian bermula esok.

Pengumuman tersebut dimaklumkan Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media harian atau press conference (PC) terakhirnya di Putrajaya, Ahad petang.

"Tanpa kita sedar masa berlalu terlalu pantas hari ini saya dah bersama anda selama tiga bulan setiap hari pukul 2 petang.

"Ingin saya maklumkan hari ini hari terakhir saya bersiaran secara langsung setiap hari dan juga pada hujung minggu.

"Mungkin lepas ni tak ada lagi la baju batik berwarna warni yang menjadi asas kuih muih dan minuman tuan-tuan dan puan-puan sekalian," katanya.

Menurut beliau, sidang akhbarnya akan dibuat tiga kali seminggu bermula Isnin.

"Sidang akbar adakan diadakan setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat sahaja.

"Oleh itu saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat memerangi pandemik Covid-19 terutamanya frontliners tanpa mengira rasa penat dan lelah.

"Tidak lupa juga pengorbanan pengamal media yang bertugas tanpa jemu dan penuh dedikasi setiap hari dalam menyampai maklumat tepat kepada rakyat," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menjadi polis kepada diri sendiri dan keluarga masing-masing dalam memerangi pandemik ini.

"Pihak polis tak lagi buat pemantauan rumah ke rumah. Jadi walaupun tak ada polis sebab tu saya katakan untuk keselamatan diri kita jaga diri kita sendiri dan keluarga.

"Kita patut jadi frontliner jaga keluarga dan masyarakat sekitar kita. Paling penting kita mesti mengawal disiplin diri kita. Tak ada polis maka kita patut jadi polis untuk mengawal diri kita demi keselamatan semua, ” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain