suria

Amirul Ashraff akan dikebumi di Sydney

Jenazah Amirul Ashraff akan dikebumikan di Sydney, Australia yang diuruskan oleh Mara.

JENAZAH pelajar Malaysia Amirul Ashraff Md Azhar, 22, yang maut selepas tergelincir dari tingkat 23 pangsapuri kediamannya di Sydney, Australia, Selasa lalu, tidak akan dibawa pulang ke Malaysia.

Bapa mangsa, Md Azhar Hasbullah, 48, berkata, jenazah anaknya itu akan dikebumikan di Sydney, Australia selepas semua urusan bedah siasat dan siasatan pihak berkuasa selesai.

"Kami sekeluarga telah sepakat untuk memudahkan urusan pengebumian anak saya agar arwah dikebumikan di Sydney Australia.

"Tetapi bila arwah akan dikebumikan kami masih belum tahu kerana masih menunggu laporan bedah siasat daripada pihak berkuasa di sana," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Md Azhar urusan pengebumian anak sulungnya itu akan diuruskan sepenuhnya pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan dia serta isterinya akan ke sana menziarahi pusara Amirul Ashraff selepas semuanya selesai.

"Kami akan ke sana selepas semuanya selesai, buat masa ini saya dan isteri masih lagi belum mempunyai kekuatan memandangkan dia merupakan anak sulung harapan keluarga" katanya.

Artikel Lain