Lari rumah kerana dimarahi bapa, diganggu rakan sekelas - Semasa | mStar

Lari rumah kerana dimarahi bapa, diganggu rakan sekelas

Mohd Adam ( kiri) bersama adiknya Mohd Fairus ditemui selamat sedang tidur di Surau Flat Jasa Mutiara Rini Johor Bahru, selepas dilaporkan hilang Isnin lalu.

DUA pelajar lelaki pasangan adik-beradik yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah untuk ke sekolah Isnin lalu ditemui selamat awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata Mohd Adam Mohd Taufik, 16 bersama adiknya Mohd Fairus Mohd Taufik, 12 ditemui sedang tidur di Surau Flat Jasa, Mutiara Rini Johor Bahru kira-kira pukul 4.30 pagi.

“Soal siasat awal mendapati kedua-dua pelajar ini menaiki bas dari Perhentian Bas Pontian ke Stesen Bas Larkin, Johor Bahru.

“Mereka kemudiannya menaiki teksi untuk ke Taman UngkuTun Aminah, Skudai. Semasa berada di situ, mereka berteduh di kawasan Taman Permainan dan juga surau sehingga ditemui berada di Surau Flat Jasa Mutiara Rini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Pontian, tengah hari Khamis.

Mustafa berkata, hasil temu bual pelajar berkenaan menjelaskan punca mereka lari disebabkan telah dimarahi bapa mereka kerana tidak hadir ke sekolah.

Selain itu, mereka turut memberitahu sering diganggu oleh rakan sekelas.

“Pasangan adik-beradik ini kemudian mengambil keputusan untuk tidak pergi sekolah pada hari Selasa dan menaiki bas untuk ke Johor Bahru.

“Mereka tiada hala tuju. Duit raya yang diperoleh pada Aidilfitri lalu digunakan untuk membayar tambang bas dan teksi,” katanya.

Mustafa memberitahu, kedua-dua beradik ini ditemui dalam keadaan sihat.

“Hasil pemeriksaan fizikal kedua-duanya didapati dalam keadaan sihat dan dirujuk ke Hospital Pontian untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Terdahulu pada Selasa lepas, polis menerima laporan kehilangan dua pelajar yang juga pasangan adik beradik.

Kedua-dua pelajar itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Flat A Taman Megah untuk ke sekolah kira-kira pukul 6.30 pagi.

Mohd Adam bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK) Sri Perhentian manakala adiknya Mohd Fairus bersekolah di Sekolah Kebangsaan ( SK) Pontian Besar. - Sinar Harian

adik-beradik hilang , duit raya

Artikel Berikut

Artikel Lain