suria

Satu kereta langgar 2 polis trafik dalam 2 insiden

DUA anggota polis trafik cedera selepas dilanggar sebuah kereta semasa melakukan sekatan jalan raya di Persiaran Kuala Selangor Seksyen 15, Shah Alam, pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 10.59 pagi memaklumkan dua anggotanya dilanggar seorang suspek lelaki dan seorang suspek perempuan yang menaiki kereta jenis Proton Gen2 semasa sedang bertugas.

“Dalam kejadian itu, pasangan berkenaan cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya yang dijalankan yang kemudian telah melanggar seorang anggota trafik bertugas mengakibatkan beliau cedera pada bahagian leher dan kaki.

“Susulan itu, seorang anggota trafik yang lain kemudian telah mengejar pasangan berkenaan bagaimanapun semasa cuba menahan suspek, beliau turut dilanggar sehingga menyebabkan cedera pada kaki kiri,” katanya ketika ditemui pemberita di Bahagian Kecemasan Hospital Shah Alam di sini, Isnin.

Tambah Baharudin, kedua-dua pasangan berkenaan yang berumur 22 tahun itu berjaya ditahan oleh sepasukan anggota trafik di Bulatan Andalas Seksyen 18 di sini dan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Kata Baharudin, kedua-dua anggotanya yang cedera itu telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan.

“Keadaan kedua-dua anggota ini agak serius bagaimanapun stabil,” katanya.

Tambahnya siasatan awal polis mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Akta Dadah Berbahaya ,” katanya. -Bernama

polis trafik, Shah Alam, Baharudin

Artikel Lain