Tunku Azizah masuk dapur sejak usia 5 tahun - Semasa | mStar

Tunku Azizah masuk dapur sejak usia 5 tahun

TENGKU Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang bakal dimasyhurkan menjadi Tengku Ampuan Pahang yang kelima pada 29 Jan ini di Istana Abu Bakar adalah seorang puteri raja yang amat disayangi oleh rakyat Pahang.

Tunku Azizah yang dilahirkan di Istana Stulang, Johor Bahru 5 Ogos 1960, merupakan puteri ketiga kepada Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail dengan Enche' Besar Hajah Kalsom Abdullah dan dibesarkan oleh Tunku Zanariah Tengku Ahmad, tidak pernah menjadikan darah diraja yang mengalir dalam dirinya sebagai penghalang untuk mendekati rakyat.

Menyelusuri pendidikan awal Tunku Azizah, adinda kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ini ketika kecilnya mendapat pendidikan bermula di Sekolah Taman Kanak-kanak Tunku Ampuan Mariam, Johor Bahru.

Baginda yang juga dikenali dengan sifat prihatin dan kasih kepada rakyat, seterusnya bersekolah di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru, sebelum meneruskan pendidikannya ke peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.

Tunku Azizah kemudiannya berkahwin dengan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 6 Mac 1986.

Baginda berdua mempunyai empat putera dan lima orang puteri iaitu ; Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Yang Mulia Tengku Puteri Iman Afzan, Yang Mulia Puteri Ilisha Ameera, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Selain itu Yang Mulia Tengku Puteri Ilyana, Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah, Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Yang Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Buku masakan

Dari segi keperibadiannya, Tunku Azizah juga cukup terkenal sebagai seorang yang amat meminati bidang masakan dan pernah menghasilkan tiga buku iaitu Air Tangan Tengku Puan Pahang yang diterbitkan pada 2007 dan buku Air Tangan Tengku Puan Pahang Manisan Tradisional Pahang  serta Buku Masakan Tradisional Pahang yang dilancarkan pada 2018.

Dalam satu temubual bersama media, Tunku Azizah pernah memaklumkan minat baginda dalam bidang masakan antara lain disebabkan dorongan yang diberikan oleh Almarhum ayahanda baginda Sultan Iskandar.

Baginda mula masuk ke dapur seawal usia lima tahun di bawah pengawasan pengasuh dirajanya dan pernah mengikuti pendidikan masakan tidak formal di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI).

Hasil jualan buku itu baginda menggunakannya untuk mengisi dana Yayasan Fertaliti Tunku Azizah (TAFF) yang diwujudkan sejak 11 Ogos 2004, sebuah badan amal yang diasaskan oleh baginda sendiri untuk membantu pasangan yang telah lama berkahwin untuk mendapatkan anak menerusi kaedah pembenihan in-vitro (IVF).

Selain mempunyai kepakaran dalam selok-belok bidang kulinari, Tunku Azizah juga mempunyai bakat dalam bidang kraf dan tekstil dan lantaran cinta yang mendalam dalam bidang itu Tunku Azizah turut memartabatkan tenun Pahang dengan mengasaskan Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam pada 2006.

Selain itu, Tunku Azizah juga aktif berpersatuan dan antara jawatan lain yang turut disandang baginda dalam persatuan dan badan bukan kerajaan termasuk Penaung Diraja Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri Negeri Pahang, Pengakap Puteri Sedunia serta merupakan Naib Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Tunku Azizah turut menjadi Pengerusi Persatuan Badminton KDYTM Tengku Ampuan Pahang (Pertap), Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Pahang(WI), Pemegang Amanah Yayasan Istana Abdulaziz (YIA) dan Penaung Diraja AP di Hong Kong.-- Bernama  

Tunku Azizah , Sultan Pahang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kenyataan rasmi ECRL diumum minggu depan

Klik

default image

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

Artikel Lain