suria

Kepala, kaki dan tangan dua mayat masih dicari - Polis

POLIS melancarkan operasi mencari beberapa lagi bahagian badan dua mayat tidak cukup sifat yang ditemui dengan kesan dikerat semalam di kawasan perumahan Desa Coalfields, dekat Sungai Sungai Buloh, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supritendan Shafa'aton Abu Bakar berkata operasi oleh unit skuba dan unit anjing pengesan (K9) itu bertumpu di sekitar kawasan dua mayat itu ditemukan.

Semalam, media melaporkan dua mayat iaitu seorang lelaki dan wanita ditemui orang awam dan hasil pemeriksaan polis menemui kesan potong pada bahagian tangan dan kaki selain turut menemui tiga bungkusan plastik hitam berisi sebahagian tangan dan kaki di kawasan berhampiran.

Tumpuan pencarian kini ialah bahagian kepala kedua-dua mangsa dan sebahagian lagi tangan dan kaki mereka, kata Shafa'aton ketika dihubungi, Ahad.

Polis percaya lelaki dan wanita itu dibunuh di tempat lain sebelum mayat mereka dibuang ke kawasan itu dan berdasarkan keadaan mayat, polis percaya mereka dibunuh kira-kira dua minggu lepas.

Shafa'aton berkata bedah siasat terhadap anggota badan yang ditemui itu dijalankan di Hospital Sungai Buloh.

Buat masa ini identiti kedua-dua mangsa belum diketahui dan polis meminta orang ramai yang kehilangan saudara atau kenalan atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.-- Bernama 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain