suria

Empat lelaki menyamar wanita di wechat sebelum samun mangsa

EMPAT lelaki anggota geng samun berkumpulan dipercayai aktif di sekitar daerah Kota Kinabalu dengan menyasarkan mangsa yang dikenali menerusi laman sosial wechat.

Ketua Polis Bandaraya, ACP Habibi Majinji berkata kesemua suspek  berusia antara 21 dan 27 tahun itu ditahan di sekitar bandaraya ini dalam operasi sejak 16 Jan lepas.

“Terdahulu polis menerima laporan mengenai satu kes samun di salah sebuah pusat membeli belah di sini kira-kira pukul 3 pagi 15 Januari lepas. Hasil siasatan dan risikan polis berjaya menahan kesemua suspek termasuk beberapa barangan milik mangsa," katanya dalam sidang media pada Rabu.

Beliau berkata modus operandi kumpulan samun berkenaan adalah menyamar sebagai wanita di laman sosial wechat sebelum mencari mangsa lelaki yang kemudiannya diajak keluar ke sesuatu lokasi sebelum di samun.

Sementara itu, Habibi berkata polis berjaya menahan dua suspek lelaki berusia 24 dan 26 tahun kerana dipercayai terlibat dalam satu kes pecah rumah di Kampung Sembulan Tengah di sini 15 Januari  lepas.

"Kedua-dua suspek berkenaan berjaya ditahan kurang 24 jam selepas kejadian itu di sekitar kampung berkenaan dan dengan tertangkapnya suspek berkenaan kita berjaya menyelasaikan lima kes pecah rumah di sekitar daerah ini," katanya.- Bernama

wechat, samun

Artikel Lain