Salah masuk gear, wanita nyaris maut kereta langgar tembok parkir - Semasa | mStar

Salah masuk gear, wanita nyaris maut kereta langgar tembok parkir

Sebahagian kereta pemandu wanita tergantung selepas wanita itu melanggar tembok parkir di tingkat dua sebuah pasaraya di Farlim, Air Itam. FOTO: Bernama

SEORANG pemandu wanita nyaris maut selepas kereta dipandunya melanggar tembok parkir tingkat dua sebuah pasar raya di Farlim, Air Itam, sehingga sebahagian kenderaannya itu tergantung dalam kejadian pada Ahad.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Sabri Romli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira 7.45 malam Ahad sebelum sepasukan anggota bomba bersama sebuah jentera tiba di lokasi kejadian.

"Ketika pihak kami sampai, terdapat seorang wanita berusia lingkungan 30-an berada di tempat pemandu, dia tidak mengalami sebarang kecederaan namun dalam keadaan trauma," katanya.

Beliau berkata menurut mangsa, dia yang mahu pulang ke rumah selepas membeli-belah di pasar raya tersebut tersilap masuk gear mengundur menyebabkan kereta jenis Proton Saga dipandunya itu melanggar tembok parkir sehingga pecah serta sebahagian kenderaannya dalam keadaan tergantung.

Sabri berkata semasa kejadian, mangsa seorang diri dan wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut.

"Pihak bomba menggunakan jentera untuk menarik kereta mangsa supaya tidak terjatuh dan operasi tamat kira-kira 8.30 malam," katanya.- BERNAMA.

Kemalangan , Kereta

Artikel Berikut

Lebih Artikel

Ibu muda lahirkan bayi kembar tujuh

Sah! Empat penjuru PRK Semenyih