suria

Belon udara panas mendarat cemas di tengah jalan raya

NIBONG TEBAL: Sebuah belon panas yang membawa 10 penumpang dikesan mendarat cemas di tengah jalan raya berhampiran Padang Jawi kira-kira pukul 9.30 pagi Khamis.

Sekumpulan pengamal media dibawa merasai pengalaman menaiki belon udara panas itu bagi mempromosikan Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang yang akan diadakan pada 8, 9 dan 10 Februari di Padang Kota, George Town.

Bagaimanapun belon udara panas itu menempuh detik cemas berikutan faktor angin.

Difahamkan kesemua penumpang dilaporkan mendarat dengan selamat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian negeri, Yeoh Soon Hin turut bersama para media di dalam penerbangan belon udara panas itu yang dikendalikan oleh warga Belanda, Jonas Van Doorsselaere, 32.

Ekoran keadaan angin, belon berkenaan pada mulanya mendarat di satu kawasan semak sebelum Doorsselaere menerbangkannya semula dan mengambil keputusan mendaratkannya di tengah-tengah jalan raya yang berdekatan.

Para petugas MyBalloon Adventure mengambil langkah menghentikan lalu lintas sebelum belon berkenaan didaratkan dan dikemaskan dalam masa kira-kira 20 minit.

Sementara itu, mengulas mengenai perkara itu, pengarah MyBalloon Adventure Izzati Khairuddin berkata pendaratan belon udara panas biasanya berlaku secara rawak bergantung kepada faktor angin.

Menyifatkan pendaratan itu sebagai biasa berlaku, Izzati berkata walaupun pendaratan boleh berlaku di mana-mana tempat, namun keselamatan penumpang tetap menjadi keutamaan mereka.

Sebelum itu, Yeoh bersama-sama Anggota Dewan Undangan Negeri Jawi, H'ng Mooi Lye dan 15 orang pengamal media telah menaiki tiga belon udara panas yang disediakan dalam acara pengenalan itu untuk menikmati pemandangan sekitar Jawi dari ketinggian kira-kira 600 meter selama 30 minit.

Berkongsi pengalaman menaiki belon udara panas itu, jurufoto NSTP, Mohd Danial Saad, 34, berkata ia adalah satu pengalaman yang berharga apabila beliau berpeluang menaiki belon udara panas itu dan pada masa yang sama mengetahui cara-cara pengendaliannya.

Bagi wartawan Makkal Osai K. Murugaiyah, 57, pula menyifatkan beliau sebagai seorang yang bertuah kerana berpeluang merasai pengalaman mendarat di tengah jalan raya.

Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang akan diadakan di Padang Polo, George Town dan akan menampilkan 15 belon udara panas dari dalam dan luar negeri.

belon udara panas

Artikel Lain