suria

Tiga terbunuh, letupan gegarkan CityOne Megamall di Kuching

Keadaan berselerak selepas kerjadian letupan kuat di pusat beli-belah CityOne di Kuching, petang Selasa. Foto Bernama

KUCHING: Tiga lelaki terbunuh selepas satu letupan menggegarkan sebuah pusat membeli-belah di sini, petang Selasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Khirudin Drahman mengesahkan tiga kematian, terdiri daripada dua warga tempatan dari Sarawak dan seorang lagi berasal dari Pulau Pinang.

Beliau memberitahu dua mangsa yang terbunuh merupakan pekerja di kedai makan Nene Chicken di CityOne Megamall.

Premis itu dalam proses pengubahsuaian sebelum ia dijadualkan dibuka pada Rabu.

Khiruddin turut memberitahu empat lagi mangsa cedera parah akibat letupan tersebut.

"Secara keseluruhan, seramai 29 mangsa - empat daripadanya cedera parah manakala tiga lagi maut. Mereka yang lain mengalami cedera ringan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Punca letupan masih dalam siasatan.

Dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 3.30 petang itu, beberapa saksi memberitahu letupan yang kuat mengakibatkan siling di kawasan tersebut runtuh.

Seorang kakitangan sebuah kedai yang dikenali sebagai Niedazaie berkata, dia mendengar bunyi bising seperti satu letupan selepas pukul 3 petang.

"Bunyinya sangat kuat. Saya mulanya ingatkan bunyi guruh tetapi ia kedengaran sangat kuat. Kemudian saya rasa bergegar dan kami diberitahu untuk keluar dari bangunan," katanya.

Seorang mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Benny berkata, dia sedang memasang peralatan minuman semasa kejadian berlaku.

"Dinding runtuh dan menimpa saya. Semua orang panik," katanya, sambil menambah terdapat kira-kira 20 orang di lokasi kejadian ketika itu. - The Star

Cityone, letupan

Artikel Lain