suria

Cef diburu gara-gara beri nombor akaun bank kepada rakan untuk 'beli durian'

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Seorang chef berusia 37 tahun di Raub kini bimbang dengan keselamatan keluarganya selepas menjadi sasaran ah long, gara-gara dia berkongsi nombor akaun banknya dengan seorang rakan.

Chef tersebut yang mahu dikenali sebagai Chong berkata, masalahnya bermula selepas bertemu dengan seorang rakan bernama Ah Hao, yang kekurangan wang sebanyak RM800 apabila tiba di Raub dari Kuala Lumpur untuk membeli durian berharga RM2,000.

"Ah Hao beritahu saya akaun banknya telah disekat dan dia bertanya sekiranya wang tersebut dapat dimasukkan ke akaun bank saya," kata Chong pada sidang media di Wisma MCA pada Selasa.

Chong kemudian berkongsi nombor akaun banknya dengan Ah Hao dan memberikannya RM800 semasa menerima wang tersebut di dalam akaunnya.

Susulan itu, kata Chong, dia mula diganggu ah long selepas dia didakwa berhutang dengan mereka sebanyak RM6,300.

"Mereka datang ke rumah ibu bapa saya untuk mencari saya dan menampal poster dengan gambar dan butiran saya, mengatakan saya berhutang dengan mereka," kata Chong, yang tinggal bersama ibu bapanya.

"Selepas itu, mereka menyimbah cat merah di rumah ibu bapa saya sebanyak tiga kali," kata Chong.

Chong kemudian membuat laporan polis dan memfailkan aduan di Jabatan Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA bagi menggesa Ah Hao untuk tampil ke hadapan.

Chong berkata, dia mengesyaki ia mempunyai kaitan selepas dia berkongsi nombor akaun banknya dengan Ah Hao.

"Saya cuba menghubunginya tetapi gagal," kata Chong.

Ketua Jabatan Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong menggesa orang ramai supaya berhati-hati apabila mendedahkan butiran akaun bank mereka.

Beliau turut menggesa orang ramai untuk tidak berkongsi butiran MyKad dengan mana-mana pihak. - The Star

ah long

Artikel Lain