suria

BMF digesa lakukan siasatan telus dakwaan gangguan seksual

PETALING JAYA: Bekas tetamu BFM89.9 menggesa stesen radio tersebut untuk mendedahkan butiran mengenai penyiasat bebas yang dilantik untuk menyiasat dakwaan gangguan seksual.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, tiga belas aktivis wanita mengeluarkan kenyataan bersama menyuarakan kekecewaan mereka terhadap dakwaan gangguan dan serangan seksual oleh pekerja stesen radio itu termasuk dakwaan budaya tersebut berleluasa di stesen berkenaan.

"Sukar bagi mangsa gangguan dan serangan seksual untuk melaporkan pengalaman mereka dan ini menjadi lebih buruk apabila mekanisme yang ditubuhkan untuk menangani kebimbangan mereka dianggap tidak selamat atau dilihat melindungi pelaku yang didakwa itu.

"Kes-kes gangguan dan serangan seksual sering kali tidak dapat diselesaikan kerana kurang keyakinan terhadap penyiasat dan integriti proses itu sendiri.

"Sehubungan itu, kami menggesa BFM89.9 untuk berkongsi lebih banyak maklumat mengenai penyiasat pihak ketiga, termasuk kriteria untuk melantik mereka," kata mereka.

Kesemua aktivis wanita itu berkata, adalah penting bagi siasatan melindungi mangsa yang terselamat, mengutamakan kebajikan mereka dan proses siasatan seharusnya telus.

"Penyiasat pihak ketiga perlu yakin terhadap kesemua tuduhan berkaitan termasuk kakitangan lain yang mahu bersuara," katanya.

Kumpulan itu juga menggesa pihak pengurusan untuk menjalankan audit bebas mengenai mekanisme laporan dalamannya.

"Proses yang lemah untuk menangani gangguan dan serangan seksual hanya memburukkan keadaan, dan menyebabkan kesan tidak baik dengan mengulangi mengganggu mangsa," kata mereka, sambil menambah bahawa proses pelaporan yang jelas diperlukan, tanpa bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah laku seksual atau keganasan.

"BFM89.9 telah menjadi antara mereka yang berada di barisan hadapan industri media yang menjangkaui sempadan dan memberi ruang untuk bersuara dan mengutarakan banyak isu yang tidak dibangkitkan media lain.

"Kita berharap stesen ini akan berani dalam menghadapi cabaran ketika ini," kata mereka.

Tambah mereka, insiden tersebut seharusnya menjadi peringatan kepada semua pertubuhan media bagi mencari mekanisme sendiri dalam menangani ganguan dan serangan seksual.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Abby Latif, Aegile Fernandez, Fadiah Nadwa Fikri, Farah Rani, Jac SM Kee, Juana Jaafar, Katrina Maliamauv, Dr Lyana Khairuddin, Norhayati Kaprawi, Thilaga Sulathireh, Shamaine Othman, Suri Kempe dan Syar S Alia.

Dakwaan itu pertama kali dikesan menerusi emel yang tersebar mendakwa gangguan seksual berlaku di stesen radio tersebur membabitkan kakitangannya.

Emel yang ditulis oleh seorang bekas kakitangannya, mendakwa pihak pengurusan tidak memandang serius terhadap dakwaan berkenaan.

Pengasasnya, Malek Ali berkata, syarikat itu komited untuk menyediakan persekitaran yang selamat "di mana semua masyarakat boleh bekerja tanpa rasa gentar dan ancaman gangguan seksual".

Sebagai langkah berjaga-jaga, beliau berkata, stesen radio sedang mengkaji semula mekanisme pelaporan itu untuk memastikan ketersediaan saluran selamat untuk menangani perkara-perkara yang serius. - The Star

BFM89.9, gangguan seksual

Artikel Lain