suria

Jho Low didakwa secara 'in absentia' dengan tuduhan pengubahan wang haram

Jho Low.

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, didakwa secara 'in absentia' iaitu tanpa ketidakhadiran tertuduh, sekali lagi dengan beberapa pertuduhan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Kali ini, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen pada Selasa, bersama empat lagi individu bagi membantu siasatan terhadap skandal 1MDB.

Jho Low didakwa dengan lima pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla).

Lima pertuduhan membabitkannya didakwa menerima AS$1.03 bilion (RM4.13 bilion) daripada 1MDB menerusi syarikatnya, Good Star Ltd.

Jho Low juga berdepan dengan dua pertuduhan bersama Tan Kim Loong, 40, di bawah Akta yang sama melibatkan AS$1.26 juta (RM5.21 juta).

Seorang individu lagi, Tang Keng Chee, 53, yang merupakan pegawai 1MDB, menghadapi tiga pertuduhan.

Dia didakwa dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Amla kerana didakwa menerima AS$6.7 juta (RM27.7 juta).

Keng Chee juga didakwa dengan satu pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana memindahkan AS$700 juta (RM2.89 bilion) daripada 1MDB kepada Good Star Ltd.

Bekas peguam am 1MDB, Loo Ai Swan, 45, didakwa dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Amla kerana menerima AS$6 juta (RM24.8 juta).

Individu kelima, Geh Choh Heng, 47, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana didakwa memindahkan AS$125 juta (RM516.5 juta) daripada 1MDB kepada Good Star Ltd.

Choh Heng kemudian menjadi pengarah eksekutif kewangan untuk 1MDB.

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara September 2009 dan Julai 2014.

Sumber memberitahu The Star bahawa pertuduhan itu difailkan pada pagi Selasa terhadap Jho Low dan empat individu secara absentia oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dengan kebenaran Pejabat Peguam Negara.

"Polis memohon waran tangkap bagi kesemua lima individu selepas tuduhan jenayah difailkan dan mahkamah majistret mengeluarkan waran itu," kata sumber.

Pada Ogos lalu, polis memfailkan pertuduhan jenayah terhadap Jho Low dan bapanya ke atas wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Dalam kes itu, Jho Low berdepan dengan lapan tuduhan pengubahan wang haram. - The Star

Jho Low, 1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Lain