suria

Palsukan ijazah, pengurus projek didakwa

PETALING JAYA: Seorang pengurus projek sebuah syarikat teknologi maklumat didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memalsukan sijil ijazah sebuah universiti swasta, Jun lepas.

V. Suresh, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah memalsukan satu dokumen iaitu satu sijil ijazah daripada Open University Malaysia (OUM) dengan niat hendak menipu bagi kegunaan seorang pekerja swasta, B. Radha Devi, 37, untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di City University, di sini.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Apartment Sri Indah, Jalan Sungai Besi, Taman Indah, dekat sini pada Jun lepas, mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam prosiding sama, Radha Devi turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan curang mengemukakan sijil palsu sama kepada pihak pengurusan City University.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis City University, dekat sini, pada Jun lepas dan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Firdaous Mohamad Idris menawarkan jaminan masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Suresh yang diwakili peguam Datuk Suraj Singh dan Radha Devi yang diwakili peguam M. K. Morthy, memohon jaminan rendah atas alasan tidak berkemampuan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 9 Okt depan bagi sebutan kesemua kes.-- Bernama

City University, ijazah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain