suria

Bayi empat bulan mati tersedak susu

Yusof bersama bapanya.

MELAKA: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia akibat dipercayai tersedak susu ketika berada di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Kompleks Masjid Al-Azim, di sini Isnin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Afzanizar Ahmad berkata pihak Hospital Melaka menerima mangsa, Yusof Al-Baihakki Zainal Abidin, dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 12.05 tengah hari dan disahkan meninggal dunia 30 minit kemudian.

“Siasatan awal polis mendapati pada jam 8.30 pagi, pengasuh telah memberi susu yang dibekalkan oleh ibu bayi tersebut dan tidur, namun bayi itu tidak sedarkan diri ketika dikejutkan oleh pengasuh kira-kira pada jam 11.45 pagi,” katanya kepada pemberita di sini.

Katanya, pengasuh kemudianya membawa bayi tersebut ke hospital dan menghubungi ibu bayi tersebut.

Beliau berkata hasil pemeriksaan tiada kesan lebam atau kecederaan pada badan bayi dan pihak polis menjalankan siasatan di bawah Laporan Mati Mengejut sebelum siasatan lanjut dilakukan apabila menerima hasil laporan bedah siasat nanti.

Sementara itu, bapa kepada bayi malang itu, Zainal Abidin Deraman, 34 berkata, anak keduanya itu telah dibawa oleh pengasuh ke hospital dan beliau mengetahui kejadian tersebut darinya isterinya, Roslina Ismail, 34, sebelum bergegas ke hospital.

Zainal Abidin, seorang anggota polis di Ibu Pejabat Polus Daerah (IPD) Melaka Tengah, berkata beliau sendiri telah menghantar anaknya ke pusat asuhan itu dalam keadaan sihat kira-kira pukul 7 pagi tadi sebelum ke tempat kerja.

Katanya, anak kedua itu baru enam hari dihantar ke pusat asuhan dan sebelum ini dijaga oleh emak mertuanya di Kota Baharu, Kelantan.

"Bapa mana tidak sedih memadangkan anak sendiri… kami terpaksa menunggu hampir lapan tahun untuk mendapat anak kedua," katanya dengan nada sebak.

Beliau, bagimanapun, redha dengan pemergian anaknya itu dan tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam perkara tersebut sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan.

Katanya, jenazah anaknya itu akan dibawa ke Kota Baharu untuk dikebumikan selepas selesai proses bedah siasat. - BERNAMA

bayi, tersedak

Artikel Sebelum

Sheikh Qaradawi lawat Anwar

Artikel Berikut

Artikel Lain