suria

Jawatan Ketua Umum PKR mungkin tidak diganti

Dr Wan Azizah Wan Ismail.

KUALA LUMPUR: Sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Presiden PKR mungkin posisi Ketua Umum PKR akan dikosongkan kerana ia tidak wujud dalam struktur parti.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, buat masa ini parti belum membincangkan mengenai jawatan Ketua Umum tersebut.

"PKR belum bincang kedudukan Ketua Umum apabila Anwar menjadi Presiden nanti,tapi kita akan umumkan nanti, jawatan itu biasanya tidak ada dalam struktur parti," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, Selasa.

Ditanya berkenaan jawatan beliau dalam PKR, Dr Wan Azizah menegaskan kedudukannya sebagai Presiden PH akan terus kekal tanpa sebarang rombakan.

"Tak mengapa jika saya bukan lagi Presiden PKR, jawatan saya sebagai Presiden PH akan tetap diteruskan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PKR masih memerlukan khidmat Dr Wan Azizah dalam parti namun kedudukan beliau masih belum diputuskan kerana beliau telah lama bersama PKR.

"Jika Dr Wan Azizah bagi laluan kepada Anwar untuk posisi Presiden PKR, beliau tidak boleh jadi ahli biasa saja.

"Saya yakin Dr Wan Azizah akan ada peranan penting lain, beliau dah lama bergelumang membangunkan PKR," ujarnya.

Mohamed Azmin menegaskan, PKR mahukan Dr Wan Azizah memainkan peranan aktif dalam parti.

Sebelum ini dilaporkan, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata ketika ini Anwar tidak mempunyai locus standi menjawat jawatan dalam kerajaan, manakala Wan Azizah, yang juga anggota Parlimen Pandan, telah dipersetujui oleh PH untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri. - Sinar Harian

Wan Azizah, Ketua Umur, PKR

Artikel Lain