suria

Keadaan Anwar bertambah baik

Dr Wan Azizah Wan Ismail. - fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Keadaan Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) malam Sabtu berikutan masalah kesihatan bahu kanan dan bahagian belakangnya, semakin baik pagi Ahad.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata berikutan perkembangan itu suaminya dijangka pulih dalam masa terdekat.

“Saya sempat melawat beliau pagi tadi sebelum saya hadir rumah terbuka Selangor hari ini. Alhamdulillah, teruskan lah berdoa… kami amat berterima kasih kepada semua yang mendoakannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Selangor di sini, Ahad.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Anwar telah dikejarkan ke PPUM kerana kesakitan di bahu serta bahagian belakang selepas pulang dari Turki pada Sabtu.

Kunjungan Anwar ke Turki bermula Khamis lepas, adalah atas undangan Presiden Recep Tayyip Erdoğan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas penahanan peguam Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim malam Sabtu atas dakwaan menghalang tugas penjawat awam, Dr Wan Azizah menyerahkan siasatan kes itu kepada pihak polis.

“Saya tidak ikuti (kes), saya serahkannya kepada polis kerana saya juga sibuk dengan suami saya,” katanya.

Peguam itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada 12.40 malam susulan laporan polis dibuat seorang wanita yang mendakwa anak perempuannya berusia 24 tahun dilarikan oleh Siti Kasim, ketika sedang menjalani pemeriksaan psikiatri oleh doktor di Hospital Kajang, Khamis lepas.

Dr Wan Azizah yang juga presiden PH dalam pada itu menyambut baik keputusan Ahli Parlimen Bagai Serai Dr Noor Azmi Ghazali yang ingin menyertai PH selepas mengumumkan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta-merta pada Ahad. - BERNAMA

Anwar Ibrahim

Artikel Sebelum

Artikel Lain