suria

Jawatankuasa Pengampunan Diraja bincang pembebasan Anwar esok

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pengampunan Diraja akan membincangkan permohonan mendapatkan pengampunan diraja untuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 pagi esok.

"PKR telah terima makluman bahawa mesyuarat Lembaga Pengampunan pada Selasa, 15 Mei, telah diawalkan dari jam 5 petang ke jam 11 pagi.

"Oleh itu, semua penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dijemput hadir ke Hospital Rehabilitasi Cheras pada jam 10.30 pagi bagi menyambut pembebasan beliau," menurut satu kenyataan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, Isnin.

Anwar menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Anwar, yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, sepatutnya dibebaskan pada 8 Jun ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lepas berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menyatakan kesediaan Seri Paduka untuk memberi pengampunan segera kepada Anwar.

“Ia adalah pengampunan penuh, yang juga bermaksud beliau bukan sahaja diberikan pengampunan tetapi juga dibebaskan dengan segera apabila mendapat pengampunan,” kata Dr Mahathir.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain