Jiran Hanya Mampu Lihat Api Jilat Rumah - Semasa | mStar

Jiran Hanya Mampu Lihat Api Jilat Rumah

Mangsa terdengar bunyi letupan seperti bunyi mercun beberapa kali sebelum rumahnya hangus dijilat api. - Facebook/JBPM Pahang Official

MUADZAM SHAH: Sembilan beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang mereka di Bukit Ibam, di sini musnah dalam kebakaran, kira-kira jam 5.40 petang, Sabtu.

Api dipercayai bermula dari bilik belakang marak dengan begitu cepat hinggakan mangsa dan jiran hanya mampu melihat api membakar rumah.

Mangsa, Sahrozini Fairos Mustaffa Kannan, 45, berkata, ketika kejadian dia baru pulang dari kerja dan berehat di beranda bersama emaknya, Che Ramlah Husin, 63.

Menurutnya, tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan kecil seakan bunyi mercun beberapa kali dari arah bilik belakang.

"Saya masuk ke dalam rumah nak tengok bunyi apa rupanya bilik belakang dah terbakar, saya terus ke dapur cabut kepala gas dan angkat tong gas masih berisi itu keluar.

"Saya lari ke depan dan jiran minta saya keluar, emak pula sempat masuk bilik dia untuk ambil beg tangan yang ada kad pengenalan dan dokumen lain," katanya yang dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, ketujuh anaknya ketika itu tiada di rumah dan barang-barang mereka langsung tidak dapat diselamatkan.

Dalam pada itu, Sahrozini bersama anak-anak dan emaknya kini menumpang di rumah abang sulungnya yang tinggal berhampiran.

"Rumah dah habis terbakar, nasib baik ada rumah abang sulung di sini, boleh kami menumpang tinggal," katanya.

Bagi meringankan beban mangsa sekeluarga, bantuan boleh disalurkan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 06111-29-000013807 atas nama Che Ramlah Husin.

kebakaran

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Galeri Foto Kebakaran Bangunan KWSP Di PJ

Lebih Artikel