suria

Anwar Bebas 8 Jun – KP Penjara

Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan pada 8 Jun ini, kata Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar.

Beliau berkata, pada 10 Februari 2015 Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengekalkan sabitan bersalah Anwar dan menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara mulai tarikh sama.

Jelasnya, sehubungan itu berdasarkan pengiraan hukuman, tarikh pembebasan Anwar adalah pada Ahad, 10 Jun 2018. 

“Bagaimanapun Peraturan 28 Peraturan-Peraturan Penjara 2000 juga menjelaskan bahawa jika pembebasan seseorang banduan jatuh pada hari kelepasan mingguan atau hari kelepasan am, banduan hendaklah dibebaskan pada hari sebelumnya. 

“Oleh kerana 10 Jun adalah Ahad dan 9 Jun adalah Sabtu, jadi Anwar boleh dibebaskan pada 8 Jun iaitu pada Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Zulkifli berkata, pengiraan tempoh hukuman yang perlu dijalani dan tarikh pembebasan Anwar dibuat Jabatan Penjara berasaskan ketetapan Seksyen 44, Akta Penjara 1995 serta Peraturan 43(1)(a) Peraturan-Peraturan Penjara 2000. 

Beliau menambah, akta dan peraturan tersebut memberikan 1/3 remitan daripada hukuman kepada mana-mana banduan yang menjalani hukuman melebihi satu bulan. 

Sehingga tarikh kenyataan ini dikeluarkan, Zulkifli berkata, Jabatan Penjara dan Penjara Sungai Buloh tidak menerima apa-apa waran atau perintah dari mana-mana pihak berkuasa yang kompeten yang mengarahkan hukuman terhadap Anwar dipinda.

“Tarikh pembebasan Anwar pada 8 Jun juga tiada sebarang kaitan dengan pelaksanaan Sistem Parol atau apa-apa perintah dari Lembaga Pengampunan,” ujarnya.

Pada Sabtu, isteri Anwar yang juga Presiden Pakatan Harapan, Datuk Dr Sri Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan bahawa Anwar bakal dibebaskan daripada penjara pada 11 Jun ini.

Anwar, 71, kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh setelah Mahkamah Persekutuan, pada 10 Februari 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014.

Hingga kini, beliau telah menjalani hukuman penjara selama hampir setahun 10 bulan.

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu dan mensabitkan Anwar setelah membenarkan rayuan pihak pendakwa.

Anwar didapati melakukan kesalahan itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Anwar Ibrahim, Jabatan Penjara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain