suria

Selepas Cikgu Azizan, Kini Solidariti Cikgu Idzahril

PETALING JAYA: Selepas kes Cikgu Azizan yang diheret ke mahkamah baru-baru ini, kini seorang lagi guru bakal dihadapkan ke mahkamah gara-gara memukul pelajarnya dipercayai kerana masalah disiplin.

Difahamkan, Cikgu Idzahril akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang pada Selasa ini di atas dakwaan berhubung kejadian yang berlaku pada 2 Ogos lalu.

Sejak Sabtu, kisah Cikgu Idzahril mendapat perhatian netizen termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan kebanyakannya memberi sokongan terhadapnya sambil mewujudkan tanda pagar #pray4cikguidzahril.

Ketua Penerangan GPMS Pulau Pinang, Azdy Mohd Arshah dalam kenyataan di halaman Facebook GPMS pada Sabtu berkata, Cikgu Idzahril sebelum ini hadir ke mahkamah dan dikenakan ikat jamin sebanyak RM4,000.

“Ingatkah kita tentang kisah duka Cikgu Azizan yang dihadapkan ke mahkamah baru-baru ini? Kini Cikgu Idzahril berdepan dengan kisah yang sama, malah jauh lebih teruk lagi kerana beliau kini sedang dibicarakan. 

“Cikgu Idzahril bakal dihukum oleh mahkamah. Jasa beliau sebagai pendidik selama 29 tahun juga bakal lenyap sekiranya mahkamah mendapati beliau bersalah. Pastinya seorang insan yang banyak berjasa ini akan hilang segala-galanya. 

“Hilang kerja, gaji, pencen dan maruah sebagai seorang yang dihormati masyarakat. Inilah nasib yang bakal dihadapi oleh seorang insan bernama guru,” katanya.

Cikgu Idzahril bakal dihadapkan ke mahkamah di Pulau Pinang pada Selasa ini.

Sementara itu, Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa ketika dihubungi mStar Online berkata, solidariti yang dibuat sebagai tanda sokongan moral kepada Cikgu Idzahril.

Walaupun gabungan itu memberi tumpuan kepada pelajar, tetapi Zambri menjelaskan mereka turut memperjuangkan pendidikan yang mana membabitkan guru sebagai pendidik.

“Kita melihat isu guru juga sebagai isu pendidikan. Kalau guru-guru pun terkesan nak mengajar, maka ia akan memberi kesan kepada sistem pendidikan.

“Kalau kita biarkan semua guru naik turun mahkamah, nanti masa depan pelajar pula macam mana? Ia akan memberikan kesan secara tidak langsung,” katanya.

Bagaimanapun Zambri menegaskan, GPMS menghormati proses perundangan di negara ini, dan kehadiran mereka dan orang ramai di mahkamah Selasa ini sebagai tanda sokongan kepada Cikgu Idzahril. 

“Kita percaya mahkamah akan memberi keadilan yang sewajarnya kepada beliau dan kita berharap ada pertimbangan di pihak pendakwa raya dan mahkamah,” katanya.

Kisah Cikgu Azizan sebelum ini mendapat perhatian berikutan kesnya dihadapkan ke mahkamah.

Difahamkan, Cikgu Idzharil merupakan guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah di Pulau Pinang dan pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Pada Disember lalu, Mahkamah Majistret Seremban melepaskan Cikgu Azizan atau nama sebenarnya, Azizan Manap, daripada pertuduhan mencederakan muridnya, April lalu.

Mengikut pertuduhan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri seorang murid lelaki berusia 11 tahun, di hadapan tapak perhimpunan sekolahnya pada jam 7 pagi, 6 April lalu.

Menurut dakwaan, Azizan telah menampar pipi kiri seorang murid Tahun Lima yang dikatakan melakukan kesalahan disiplin berat berulang termasuk menghidu gam, ponteng kelas dan membuli pelajar lain di sekolah.

GPMS, Cikgu Azizan, Cikgu Idzahril

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Korban Qobin Demi Negara

Artikel Lain