suria

Waspada Sindiket Rakam Gambar Di Jabal Rahmah

ASSALAMUALAIKUM. Baru-baru ini seorang rakan bertanya menerusi aplikasi Whatsapp berkumpulan mengenai sindiket mengambil gambar jemaah di Jabal Rahmah di Tanah Suci Makkah.

Rakan itu ingin tahu apakah saya mengetahui mengenai sindiket seumpama itu dan saya katakan tidak pernah pula tertipu atau terdengar sindiket berkenaan.

Saya lantas bertanya adakah dia pernah tertipu dan terpedaya dengan sindiket itu dan memeranjatkan semua apabila dia sendiri terkena ketika menunaikan ibadat umrah pada pertengahan tahun lalu.

Menurut cerita yang dihantar oleh rakan saya itu, ada sekumpulan lelaki berkulit gelap berlegar di sekitar Jabal Rahmah dan ketika jemaah mendaki anak tangga bukit itu, mereka akan meletakkan kain umpama serban di atas kepala jemaah dan mengambil gambar jemaah berkenaan.

Gambar jemaah terus dicetak dan lelaki itu akan terus menunjukkan kepada jemaah gambar yang dirakamkan dan memaksa mereka untuk membayar SR30 untuk sekeping gambar.

Jika tidak mahu membayar, jemaah akan diekori sehingga hendak naik ke dalam bas. Lebih membimbangkan mereka berkumpulan dan dengan mudah memarahi jemaah yang enggan membayar setelah gambar mereka dirakam.

Bagi jemaah yang baru kali pertama menunaikan umrah, berhati-hati agar tidak terpedaya, terpengaruh dan tertipu dengan sindiket seumpama itu. Namun, kadangkala tidak dinafikan dalam kita begitu berwaspada, boleh terkena juga apabila terlupa.

Lazimnya, jemaah diberi peluang hampir satu jam di Jabal Rahmah kerana ada antara mereka, terutama yang baru kali pertama menjejakkan kaki ke bumi Haramaian teruja naik ke bukit pertemuan Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa r.a. setelah keluar dari syurga.

Justeru, disebabkan tempoh yang panjang, jemaah selalunya tidak naik ke Jabal Rahmah secara berkumpulan apatah lagi bukan semua jemaah terdaya mendaki bukit berkenaan. Jadi, peluang untuk peniaga dan sesiapa saja menghampiri jemaah menjadi lebih mudah.

Jika mahu mendaki Jabal Rahmah, naiklah terus dari tempat anda mendaki dan turun semula dari laluan yang sama untuk memastikan anda tidak terpinga-pinga atau tersesat mencari laluan kembali ke bas untuk bertemu rakan jemaah lain.

Bagi jemaah yang tidak mendaki bukit itu pula, sebaik-baiknya, setelah bergambar dan menikmati aiskrim atau minuman ringan yang boleh dibeli daripada peniaga van, naiklah semula ke atas bas untuk mengelakkan diri daripada dihampiri mereka yang tidak boleh dipercayai.

Selalunya, Jabal Rahmah yang terletak di di Padang Arafah adalah antara lokasi bersejarah yang akan dikunjungi dalam jadual lawatan ke kota Makkah selain Jabal Tsur, sekitar Mina, Muzdalifah, Jaaranah dan Hudaibiah.

Alhamdulillah saya tidak pula melalui pengalaman seperti rakan saya itu tetapi pernah cemas sepanjang lawatan di Jabal Rahmah kerana mencari dompet yang tidak saya temui di dalam balas galas. Saya menyedari ketiadaan dompet ketika hendak membeli alas meja kecil di situ.

Saya batalkan hasrat untuk membeli dan tidak juga menyatakan perihal dompet itu kepada suami kerana mahu mencari di dalam coaster terlebih dahulu. Sejurus mutawaif membuka pintu coaster, saya mula-mula naik dan ternampak dompet terletak di bawah kerusi tempat duduk saya. Lega.

Apapun, berhati-hati dan berwaspada apabila dihampiri oleh individu lain. Usah layan dan mudah terpengaruh dengan tawaran mereka kerana anda boleh saja mengambil gambar sendirian atau meminta jemaah lain mengambilkan foto anda.

Sebelum ini, jemaah juga sering dinasihatkan agar tidak melayan mereka yang menawarkan peluang untuk mengucup Hajar Aswad. Sindiket mengucup batu dari syurga itu sudah berleluasa sejak beberapa tahun lalu tetapi sehingga sekarang masih ada yang terpedaya kerana kurang peka dengan sindiket berkenaan.

Jemaah wanita khususnya perlu ingat, mengucup Hajar Aswad adalah sunat sedangkan memelihara aurat di depan khalayak dan bukan mahram adalah wajib. Justeru, usah pandang ringan jika aurat terbuka ketika berebut-rebut hendak mengucup Hajar Aswad kerana kemungkinan aurat anda terdedah sangat tinggi kerana asakan di depan Kaabah sungguh ketara dan kadangkala menakutkan.

InsyaAllah bersambung minggu depan.



Jabal Rahmah, Makkah

Artikel Sebelum

Enam Cedera Bas Rempuh Treler

Artikel Berikut

Artikel Lain