suria

Ibu ‘Kali Pertama’ Teruja Dapat Adam50 Tahun Depan

PETALING JAYA: Seorang wanita yang bakal bergelar ibu buat pertama kali, Nursyahieda Yusof (gambar) mempunyai bermacam-macam sebab untuk berasa teruja kerana dia dijangka melahirkan bayi pada awal tahun depan.

Wanita yang berasal dari Raub, Pahang dan berusia 32 tahun itu sudah berkahwin hampir dua tahun dan beranggapan kelahiran anaknya nanti adalah tepat pada waktunya.

“Sudah tentu saya rasa gembira dan pada masa sama turut berdebar.

“Saya tidak berpengalaman seperti ibu lain tetapi saya akan lakukan yang terbaik untuk membesarkan anak saya. Ia perjalanan baharu sebagai seprang ibu bapa,” katanya yang sedang hamil lapan bulan.

Pegawai tadbir dan diplomatik di Putrajaya itu berkata, dia turut melakukan pemeriksaan bayi dari masa ke semasa, namun mesin pengimbas di Hospital Putrajaya belum dapat menentukan jantina bayinya.

Suaminya, Mohd Rizuan Mohd Haran, 30, merupakan seorang pegawai penyelidik di sebuah firma swasta.

Selain berita memperolehi cahaya mata tidak lama lagi, ada lagi berita baik daripada pihak kerajaan yang menunggu bakal ibu bapa seperti mereka.

Bayi yang dilahirkan antara 1 Januari 2018 dan 2022 akan menerima unit amanah saham di bawah Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (Adam50) yang bernilai RM200.

Ia sudahpun diumumkan ketika pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Oktober lalu.

Menyifatkan insentif itu sebagai permulaan yang baik, Nursyahieda berkata, dia belum terlintas untuk membuka akaun untuk bayinya itu.

“Saya ada perkara lain yang perlu difikirkan seperti pekerjaan dan mencari maklumat bagaimana untuk menjaga bayi pertama ini nanti.

“Jadi, saya gembira apabila kerajaan memperkenalkan skim ini yang menyasarkan golongan ibu hamil,” katanya.

Nursyahieda berkata, dia kini berazam untuk mengetepikan sebanyak RM100 sebulan bagi membeli lebih banyak unit sebagai perancangan jangka panjang.

Simpanan itu dapat dimanfaatkan apabila anaknya mula bersekolah kelak.

"Suami saya dan saya telah memutuskan untuk tidak mengambil satu sen pun daripada akaun ini sehingga anak kami berumur 18 tahun.

“Insya Allah, kami akan cuba untuk memiliki anak kedua pula,” katanya dengan penuh semangat sambil berharap agar pihak kerajaan akan mempertimbangkan untuk melanjutkan skim tersebut selepas tahun 2022 agar lebih ramai orang yang boleh mendapat manfaat daripada skim tersebut.

Nursyahieda juga memuji langkah kerajaan yang menjaga kebajikan ibu hamil dan wanita yang bekerja.

Antaranya adalah cuti bersalin selama 90 hari yang dicadangkan untuk semua pekerja sektor swasta, semua bangunan pejabat baru mempunyai kemudahan penjagaan kanak-kanak dan penjawat awam yang sekurang-kurangnya mengandung lima bulan dibenarkan pulang satu jam lebih awal.

"Memandangkan ini adalah anak pertama saya, saya mudah berasa letih menjelang waktu petang.

"Jadi, jika dapat pulang ke rumah lebih awal untuk beristirahat adalah sangat membantu untuk memastikan saya segar pada keesokan harinya," katanya.

Cuti bersalin yang lebih lama juga akan membolehkannya menjaga dan menyusukan anaknya serta menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga di rumah.

Adam 50

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

PAU2017 Bermula Hari Ini

Artikel Lain