suria

Sebuah Boeing Tanpa Kotak Hitam

“IQBAL, Ronald. DFDR,” panggil ketua mekanik kami yang berbangsa Kashmir. Seraya itu kad tugasan bertukar tangan.

DFDR adalah tugasan yang melibatkan kotak hitam sesebuah kapal terbang.

Ia sebenarnya suatu tugas yang mudah, cuma akses untuk melakukannya yang sukar.

Aku dan Ronald ke stor untuk meminjam peralatan melakukan tugas yang diberikan itu. Setelah mendapat apa yang diperlukan, kami bergerak ke kabin.

Di depan aku ialah sebuah pesawat yang mesti diperiksa kotak hitamnya. Aku mendongak memandang siling, menduga-duga kedudakan tepat kotak hitam itu.

“Kat atas ni, kan?” tegur Ronald lelaki Filipina.

“Aah,” jawab aku pendek.

Untuk membolehkan kami menyelesaikan tugas, siling itu harus di buka terlebih dulu. Tetapi membuka siling itu bukan kerja kami. Itu kerja bahagian kabin.

Aku menyuruh Ronald memberitahu pekerja kabin yang kebetulan ada berhampiran kami di situ.

“Kaulah cakap. Kenapa pula aku?” marah Ronald.

“Kau dengan dia kan sama negara. Kau cakaplah Tagalog dengan dia,” jelas aku.

“Macam ini kau sekarang, ya?” jeling Ronald. Walaupun aku tahu dia bergurau tetapi ayat tu memang menyakitkan hati. Nak sahaja aku sekeh si pendek itu.

Siling pun di buka setelah Ronald berdiplomasi dengan kawannya.

Alangkah terkejutnya aku. Setelah siling di buka, aku gagal menemui kotak hitam itu.

Jika kau belum tahu, setiap pesawat mesti dilengkapi kotak hitam, iaitu peranti yang merekodkan segala data penerbangan dan komunikasi di dalam kokpit.

Macam mana pesawat yang di depan aku ini tak ada kotak hitam?

“Woi! Mana Kotak Hitam?” jerit Ronald sambil ketawa.

“Pelik ni! Pelik ni!” jerit aku.

Takkan pesawat Boeing terlupa nak pasang kotak hitam? Wah, ini sudah cukup bahaya.

Kepala aku mula ligat memainkan pelbagai kemungkinan yang tidak elok. Ronald pula menyuluh kiri dan kanan sambil mulutnya berceloteh dalam bahasa Tagalog.

Aku membelek semula kad tugasan yang ada. Berulang kali aku membacanya.

Ada sesuatu yang pelik dengan kad tersebut sebenarnya tetapi otak aku gagal memproses. Aku merasa seram sejuk. Bagaimana pesawat ini boleh terbang tanpa kotak hitam?

Ronald masih sibuk berceloteh dengan rakan senegaranya menerangkan apa yang telah berlaku. Tinggi rendah suara mereka riuh di dalam kabin bagai satu kumpulan mak-mak yang mengumpat jiran sebelah.

Tiba-tiba mata aku tertancap pada satu perkataan: A330. Aku rasa pelik dengan perkataan ini. Hampir 15 saat otak aku memproses dan.... PAP! 

Terasa aku ditampar sesuatu dengan kuat yang mematikan semua khayalan.

“Lahabau! Ini A330, bukan B777! Memanglah tak ada kotak hitam itu di sini! A330 kotak hitam kat ekor!” jerit aku.

Ronald gelak dengan lebih kuat kali ini sehingga memerah mukanya.

“Itulah lama sangat kerja di 777,” kata Ronald dalam gelaknya.

Pada penghujung 2017 ini aku rasa ramai yang tahu perihal black box atau kotak hitam ini. Sekitar empat tahun dulu - ketika kejadian malang menimpa pesawat MH130 dan MH17 - masih ramai beranggapan kotak hitam bewarna hitam.

Kotak hitam dalam industri penerbangan berwarna jingga cerah. Warna tersebut adalah sejenis cat yang mampu menahan haba melampau.

Dan sebab utama ia diwarnakan sedemikian ialah untuk memudahkan pencarian sekiranya berlaku kemalangan.

Sejarah kotak hitam berawal sekitar 1950-an. Ia dicipta di Australia dan warna asal ketika itu memang hitam. Cat yang digunakan mempunyai fungi rintangan api dan kalis karat.

Bagi pesawat udara Boeing dan Airbus, kedudukan kotak hitam ini berbeza antara satu sama lain. Oleh itu jika kau bekerja terlalu lama dengan pesawat tertentu, kau boleh lupa maklumat tentang pesawat yang lain.

Tiga bulan - itu tempoh terlalu lama sebenarnya untuk seseorang mekanik bekerja dengan sesebuah pesawat. Walaupun sebenarnya tidak ada masalah besar, tetapi bahaya itu ada, sebab mekanik mengambil masa untuk membiasakan diri bekerja dengan kapal terbang yang lain.

Tiga bulan itu jugalah, aku bekerja dengan Boeing 777. Segala fikiran, otot dan gerak hati aku tertumpu penuh dengan pesawat Boeing dan itulah jadinya!
Boeing, kotak hitam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain