suria

Empat Anggota TLDM Hadapi 11 Tuduhan

Tiga daripada empat anggota TLDM ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung pada 13 Oktober lalu.

LUMUT: Seorang Laskar Kanan TLDM Mohd Izhrifikri Roslee, yang didakwa pada Jumaat lepas atas tuduhan membunuh dua rakan sekerja, dihadapkan sekali lagi di Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini atas lapan tuduhan menyebabkan kecederaan termasuk melakukan dua ugutan jenayah.

Mohd  Izhrifikri Roslee, 29, didakwa melakukan perkara itu ke atas dua anggota Laskar Kelas Satu, Mohd Farhan Md Said, 30, dan Mohd Syaiful Nizam Mardzuki, 30 di bilik tahanan TLDM unit Sungai Wangi, Sitiawan.

Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nur Shaqira Ibrahim.

Mengikut tiga pertuduhan pertama, Mohd Izhrifikri didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Mohd Farhan dengan memukul tapak kaki mangsa di padang kawad Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan antara pukul 8 malam 12 Sept hingga 12 tengah hari 14 September lalu.

Tertuduh turut didakwa atas tiga lagi pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas Mohd Syaiful Nizam dengan memukul tapak kaki mangsa di tempat sama antara pukul 10 pagi 21 September hingga 12 tengah hari 23 September lalu.

Mohd Izhrifikri turut melakukan dua ugutan jenayah terhadap Mohd Farhan dan Mohd Syaiful Nizam dengan niat mendatangkan ugutan jenayah dengan mengatakan akan dibelasah sehingga mati dan anggota keluarga akan diancam  sekiranya  memberikan kenyataan yang benar kepada polis.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di lorong hadapan sel nombor 4 (Syaful Nizam) dan 7 (Farhan) bilik tahanan tersebut antara pukul 2 hingga 3 petang, pada 29 September lalu.

Majistret menetapkan tarikh sebutan semula semua pertuduhan Mohd Izhrifikri pada 30 Oktober ini.

Selain Mohd Izhrifikri, turut didakwa tiga lagi rakannya iaitu Hamzah Zakaria @ Ali, 35; Mohd Farham Mohd Azmi, 31; dan Saifulnizam Razaly, 37, masing-masing atas satu pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Farhan, mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa secara berasingan melakukan perbuatan itu dengan memukul tapak kaki mangsa di Padang Kawad Bilik Tahanan antara pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah hari, 13 September lalu.

Bagaimanapun hanya Mohd Farham yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu manakala Saifulnizam dan Hamzah, masing-masing minta dibicarakan.

Nur Shaqira kemudiannya menjatuhi hukuman denda RM1,600 atau penjara enam bulan ke atas Mohd Farham jika gagal membayar denda itu manakala dua lagi rakannya masing-masing dibenarkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula 30 Oktober ini.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Harris Ong Jeffry Ong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-- Bernama 


TLDM, Sitiawan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain