suria

Malaysia Yakin Kenal Pasti Pelaku Tembak Jatuh MH17

Datuk Seri Liow Tiong Lai. -fotoAFP

PUTRAJAYA: Malaysia yakin bahawa pelaku yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 di Ukraine pada 2014 akan dibawa ke pengadilan hasil siasatan menyeluruh, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Ketika ditemui pemberita selepas menghadiri upacara peringatan dan sesi taklimat di sini pada Khamis dengan waris mangsa sempena ulang tahun ketiga tragedi penembakan jatuh MH17, Liow berkata data yang dikumpul oleh Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) telah dapat mengenal pasti pelakunya.

"JIT mengumpul dan menyiasat lebih satu bilion maklumat daripada laman web, Facebook dan Twitter selain menemuranah lebih 200 orang saksi.

"Semuanya sangat terperinci. Kita yakin dapat mengenal pasti pelaku yang bertanggungjawab,” kata beliau.

Malaysia dan negara-negara anggota JIT iaitu Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia bersetuju supaya pendakwaan negara terhadap pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh MH17 dilakukan di Belanda.

Pesawat Boeing B777, dilaporkan dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam membawa 298 penumpang dan kru apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai, 2014.

Liow berkata siasatan penuh dijangka siap awal tahun depan sebelum proses pendakwaan bermula.

"Kita akan memastikan keadilan dapat dikembalikan kepada waris-waris mangsa MH 17," kata beliau.

Ketika ditanya sama ada JIT telah membuat sebarang penangkapan setakat ini,  Liow berkata “belum lagi” kerana siasatan belum selesai.

Beliau berkata Malaysia mahu “pihak” yang sebenarnya melancarkan peluru berpandu itu tampil untuk memberitahu apa yang sebenarnya berlaku pada hari tersebut.

"Peluru berpandu BUK yang dilancarkan dari darat ke udara yang menyebabkan MH17 jatuh," katanya. -Bernama

MH17, Datuk Seri Liow Tiong Lai, JIT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Hero PPIM Dapat Ugutan Bunuh

Artikel Lain