suria

Isa, Isteri Tiba Di SPRM

TUMPUAN MEDIA...Bekas pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd Tan Sri Isa Samad dan isteri Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid hadir di ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berkaitan FGV, Rabu. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) Tan Sri Isa Samad dan isterinya hadir di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, Rabu bagi memberi keterangan berhubung siasatan terhadap FGV.

Isa dan isterinya Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid tiba di ibu pejabat suruhanjaya itu pada 9.40 pagi.

Pada 9 Jun lalu, SPRM mengesahkan telah memulakan siasatan terhadap FGV dan Ketua Pesuruhjayanya Datuk Dzulkifli Ahmad dilaporkan berkata semua saksi termasuk Isa akan dipanggil untuk direkodkan keterangan.

Pengesahan itu menyusuli laporan media pada hari sebelumnya yang menyebut sekumpulan pegawai dan anggota SPRM mengambil masa lapan jam bagi menyelesaikan urusan pengambilan dokumen di ibu pejabat FGV di ibu negara.

Dilaporkan setakat semalam SPRM telah mengambil keterangan daripada 60 saksi berhubung siasatan itu.

Dua hari lepas pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Isa dengan rela hati melepaskan jawatan sebagai Pengerusi FGV berkuat kuasa serta-merta dan jawatan itu kini dipangku oleh Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Kemelut FGV mendapat perhatian apabila Isa dan Lembaga Pengarahnya mengarahkan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad serta tiga pegawai pengurusan kanan FGV bercuti bermula 6 Jun lalu.

Tiga pegawai kanan itu ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd, Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

Isa dilaporkan berkata arahan bercuti itu bagi membolehkan siasatan dalaman berhubung urus niaga FGV dan Safitex Trading LLC, sebuah syarikat Afghanistan.

Pada 7 Jun, Zakaria dilaporkan tampil di ibu pejabat SPRM di sini berbekalkan beberapa dokumen berhubung FGV bagi memberi keterangan tentang beberapa isu termasuk mengenai tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada anak syarikat FGV iaitu Delima Oil Products.

Bagi mencari penyelesaian terhadap kemelut pentadbiran FGV itu, kerajaan melantik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak berkecuali untuk meneliti isu dalaman syarikat berkenaan. -Bersama

FGV, SPRM, Isa Samad

Artikel Sebelum

Jom Main Teka Kuih Raya

Artikel Berikut

Artikel Lain