suria

Pegawai Tertinggi MBI Ditahan, Akaun Bank RM27 Juta Dibeku

GEORGE TOWN: Satu akaun bank berjumlah RM27 juta dibekukan susulan serbuan terhadap MBI Group International, dan difahamkan pegawai tertinggi kumpulan itu ditahan.

Serbuan dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama Bank Negara, polis dan pejabat Peguam Negara.

KPDNKK dalam satu kenyataan ringkas pada Selasa mendedahkan operasi tersebut dilakukan di Pulau Pinang dan Kedah pada Isnin.

Tambah kenyataan itu, pihak berkuasa telah membekukan akaun bank milik seorang suspek.

Bagaimanapun, identiti suspek tidak diketahui.

Selain itu, wang tunai sebanyak RM688,000 dan tiga kereta mewah turut dirampas dalam operasi tersebut.

Pada 31 Mei lalu, sebanyak 91 akaun bank berjumlah RM177 juta dibekukan susulan serbuan di beberapa lokasi yang mengaitkan MBI International.

Pasukan pelbagai agensi menyerbu pusat logistik M Square di Kuala Lumpur dan M Mall, sebuah pusat membeli-belah di Pulau Pinang yang menjadi tempat pembeli menggunakan mata ganjaran kesetiaan sebagai penukaran dengan barangan.

Serbuan  dijalankan di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Primad 1993 dan diketuai pegawai dari KPDNKK, polis, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), CyberSecurity Malaysia dan Bank Negara.

Menurut Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin, serbuan dijalankan selepas kementerian menerima pelbagai aduan daripada orang awam tetapi tiada penahanan dibuat.

Beliau berkata, akaun bank dibekukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Artikel Lain