suria

Dana Mara: Annuar Musa Beri Keterangan

Annuar sebaik tiba di lobi ibu pejabat bangunan Mara untuk memberi keterangan pada pagi Selasa.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa hadir di Ibu Pejabat Majlis Amanah Raya (Mara) di sini untuk memberi keterangan berhubung dakwaan beberapa kes penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa termasuk berkaitan penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh tiba di bangunan Mara pukul 10.29 pagi Selasa.

Beliau yang memakai kemeja berwarna biru dan berkot kelabu kelihatan tenang dan sempat beramah mesra dengan media sebelum naik ke pejabat Mara.

Media bagaimanapun tidak dibenarkan naik ke pejabat Mara , dan  berkumpul di lobi bangunan tersebut sejak pukul 10 pagi.

"Kita tunggu sahaja nanti, tak tahu sama ada mereka nak buat sidang media atau tak," katanya ringkas.

Pada 31 Januari lepas, Mara menggantung tugas Annuar sebagai Pengerusi Mara dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan audit dalaman agensi itu menyiasat isu penajaan Pelaburan Mara Bhd (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

Annuar sebelum ini bagaimanapun menafikan terbabit dalam sebarang salah guna kuasa berhubung keputusan PMB dan UniKL menaja pasukan TRW.

Selain itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dilaporkan telah memanggil sembilan individu termasuk Annuar sendiri bagi memberi keterangan berhubung isu itu pada awal Februari lalu.


Annuar Musa, Mara

Artikel Lain