suria

Datuk Seri Bebas Tahanan Reman

Pegawai SPRM berkawal di kawasan wad yang menempatkan tahanan reman bergelar Datuk Seri di Hospital Island.

GEORGE TOWN: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dibebaskan pada Isnin selepas tempoh reman enam harinya tamat.

Beberapa wartawan berkumpul di luar Island Hospital di sini selepas dimaklumkan majistret akan berada di pusat perubatan swasta itu untuk mengeluarkan perintah membebaskan lelaki berusia 74 tahun yang dimasukkan ke wad hospital swasta itu.

Ahli perniagaan itu dimasukkan ke Island Hospital pada Sabtu selepas mengalami insomnia dan sukar menyesuaikan diri dengan keadaan di lokap SPRM.

Pemeriksaan di wad hospital itu mendapati pintu bilik yang menempatkan tahanan itu diletakkan tanda "Jangan Ganggu" dan "Tiada Pelawat".

Dua lelaki yang dipercayai pegawai SPRM juga dilihat di ruang pelawat wad berkenaan.

Pada 10 pagi Isnin, lebih ramai pegawai suruhanjaya itu tidak, disusuli majistret berkenaan.

Datuk Seri dan anaknya berusia 47 tahun yang juga bergelar Datuk ditahan SPRM pada 12 April lalu berhubung skandal tanah melibatkan Yayasan Bumiputra Pulau Pinang Berhad.

Kedua-dua suspek itu mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat pemaju hartanah terkemuka di Pulau Pinang yang turut disenaraikan di Bursa Malaysia.

Menurut SPRM, tangkapan berkenaan merupakan susulan daripada siasatan SPRM yang telah menangkap seorang pemegang amanah yayasan tersebut di Pulau Pinang pada 29 Mac lepas kerana disyaki telah menyalahgunakan kedudukannya untuk kepentingan diri sendiri.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi. 

Datuk Seri, Hospital Island, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain