Bukan Bom Tapi Botol Minyak Masak - Semasa | mStar

Bukan Bom Tapi Botol Minyak Masak

Anggota Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia bersama anjing pengesan memeriksa bungkusan yang ditemui berserta satu nota ugutan berdekatan perkarangan Wisma Bernama pada Isnin. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan bungkusan yang ditemui berserta satu nota ugutan di sebatang pokok berhampiran kawasan letak kenderaan Wisma Bernama di Jalan 1/65 A, Off Jalan Tun Razak di sini, Isnin bukan bom.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata pemeriksaan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur mendapati bungkusan kain batik itu hanya mengandungi sebotol minyak masak.

"Negatif (bukan bom)," katanya.

Pada 8.03 malam, Unit Pemusnah Bom itu memusnahkan bungkusan berkenaan dengan alat pemusnah selepas selesai melakukan siasatan menyeluruh di kawasan itu.

Unit berkenaan tiba di lokasi bersama-sama dengan Unit Anjing Pengesan IPK Kuala Lumpur pada 7.22 malam dengan enam anggota selepas menerima panggilan kecemasan daripada Unit Keselamatan Bernama.

Kira-kira 7.30 petang, dua ekor anjing pengesan di bawa ke lokasi penemuan bungkusan itu namun tiada tindak balas yang menunjukkan objek itu bom.

Bernama difahamkan sekiranya objek itu bom atau bahan letupan, anjing berkenaan akan mendekati objek tersebut.

Petang Isnin, kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) gempar dengan penemuan bungkusan itu yang diletakkan di bawah sebatang pokok berhampiran kawasan letak kenderaan Wisma Bernama.

Bungkusan itu, yang dibaluti kain batik, disertakan dengan sekeping nota ugutan terhadap dua agensi kerajaan.

Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Samsol Maarif Saibani ketika dihubungi memberitahu bahawa enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa diarah ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan daripada Bernama pada 5.33 petang.

Sementara itu, Ketua Syif Pengawal Keselamatan Bernama Azahar Fathal, 49, berkata beliau dimaklumkan mengenai bungkusan itu daripada seorang petugas pembersihan pada 4.50 petang sebelum beliau ke lokasi berkenaan.

"Saya dapati ada satu bungkusan kain batik dan nota ugutan diletakkan di bawah sebatang pokok dekat tempat letak kereta Wisma Bernama," katanya.

Selepas itu, beliau memeriksa rakaman kamera litar tertutup bagi melihat pergerakan di Jalan 1/65 A bagi tempoh awal pagi hingga petang Isnin.

Beliau kemudian menghubungi pihak polis dan Balai Bomba dan Penyelamat berkenaan. - BERNAMA

bungkusan misteri , bom , Wisma Bernama

Artikel Sebelum

Rancangan Culik Berskala Besar Gagal

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

Artikel Lain