suria

Valet Doa Sedia Khidmat 'Terbang' Doa Ke Makkah

PETALING JAYA: Bagi yang tidak mampu menunaikan ibadat di Makkah, kini Valet Doa menyediakan khidmat untuk menyampaikan doa-doa yang mungkin sudah lama terkubur dalam hati untuk 'diterbangkan'  ke Tanah Suci pada kadar antara RM500 hingga RM2,500.

Dengan kadar upah itu mengikut lokasi doa itu dilafazkan, mereka yang mempunyai hajat segera, boleh mengirimkan doa-doa mereka kepada wakil Valet Doa, perkhidmatan yang baru tiga hari lalu dilancarkan menerusi laman media sosial, Facebook.

Pengasasnya, Mohd Nasrin Harin mendakwa, beliau hanya mempunyai satu niat apabila nekad memperkenalkan platform ini kepada umum iaitu mahu membantu menyampaikan doa orang ramai yang tidak mampu ke Makkah.

"Saya buat ini atas satu inisiatif, nak tolong orang berdoa sahaja.

"Saya bukan pergi beribadat untuk diri saya seperti orang lain, saya pergi khusus untuk tunaikan hajat-hajat orang di sini, sebab itulah ada sedikit harga ditetapkan," katanya kepada mStar Online.

Menurut Mohd Nasrin, amalan mengirimkan doa kepada mana-mana individu yang mahu ke Tanah Suci sebenarnya sudah lama dibuat dalam masyarakat di Malaysia tetapi Valet Doa tampil dengan konsep yang lebih teratur.

"Bila saya ke Makkah ramai yang 'tumpang' doa, mutawif lain pun sama dan saya tak ada masalah untuk itu kalau sempat dan ada peluang," katanya.

Bagaimanapun beliau mendakwa, terdapat sedikit perbezaan antara doa yang dikirimkan kepada ahli keluarga atau rakan-rakan yang berpeluang ke Makkah berbanding doa yang dikirimkan kepada wakil Valet Doa.

"Doa-doa mereka akan dibaca satu persatu seperti yang dihajati, di lokasi yang mereka pilih kerana saya dan wakil Valet Doa memang diterbangkan dengan tujuan untuk berdoa.

"Ia satu tugas dan amanah yang mesti ditunaikan, kami tidak terikat atau terkejar-kejar dengan hajat atau ibadat diri sendiri. Kalau tak diberi kesempatan, kami boleh tangguh penerbangan pulang sehinggalah doa mereka dibacakan sebab tempoh visa adalah sebulan," katanya.


Mengulas lanjut mengenai perkhidmatan ini, bekas kontraktor ini berkata, beliau terpaksa tampil dengan beberapa pakej bagi membolehkan setiap golongan mampu menikmatinya.

Katanya, pakej paling rendah berharga RM500 di mana doa akan dibacakan di depan Kaabah, manakala pakej paling mahal berharga RM2,500 di mana doa akan dibaca di Multazam.

"Selain di Kaabah dan Multazam, kita juga menawarkan lokasi-lokasi berdoa lain seperti di bawah pancur emas dan Hajar Aswad," katanya sambil menambah potongan 50 peratus diberikan untuk 333 peserta terawal.

Bagaimanapun Mohd Nasrin berkata, beliau sedar tawaran ini mendapat kritikan dan tentangan hebat daripada orang ramai, termasuklah menuduh dirinya 'menjual agama'.

"Yang tertarik pun ramai juga, tapi bagi mereka yang mengkritik, saya rasa mereka perlu berlapang dada dan lebih jelas dalam hal ini.

"Bayaran itu hanya untuk tampung kos saya ke sana berserta sedikit upah. Wakil berhak diberi upah," katanya.

Katanya, sesiapa sahaja boleh menggunakan perkhidmatan ini, terutama mereka yang berada dalam masalah atau dalam keadaan terdesak dan mahu doa-doa mereka lebih cepat makbul.

Katanya, sebagai contoh, individu atau ahli keluarga yang sedang terlantar sakit, serta usahawan yang sedang mengalami masalah dalam perniagaan boleh mencuba perkhidmatan ini.

"Di sini pun boleh berdoa, tetapi ramai yang mahukan keberkatan Tanah Haram yang dijanjikan Allah iaitu satu doa bersamaan 100 ribu ganjaran," katanya.


Valet Doa, kirim doa, umrah, Kaabah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain