suria

Empat Penyokong Fanatik P.Pinang Mengaku Salah Merusuh

NIBONG TEBAL: Empat penyokong fanatik bola sepak Pulau Pinang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Jawi di sini atas tuduhan merusuh di Stadium Negeri Batu Kawan minggu lepas.

Muhamad Shahrin Abdullah, 19, Hafizi Harun, 31, Muhammad Faizrul Iqmal Zulkifli, 20, dan Abu Halim Yusof, 19, didakwa secara bersama mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, semua mereka didakwa merusuh di Stadium Negeri Batu Kawan pada 11.30 malam, 11 Februari lalu selepas perlawanan bola sepak antara pasukan Pulau Pinang dan Sarawak.

Majistret Shamshol Azwa Martadza menjatuhkan hukuman denda RM7,000 dan penjara dua minggu dari tarikh tangkap terhadap semua tertuduh.

Sementara itu tertuduh ketiga, Muhammad Faizrul Iqmal turut berhadapan tuduhan memiliki bahan letupan pada hari, masa dan tempat yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Muhammad Faizrul Iqmal turut mengaku salah atas pertuduhan itu dan dijatuhi hukuman penjara dua minggu dari tarikh tangkap dan denda RM6,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan, manakala semua tertuduh kecuali Abu Halim diwakili peguam Foo Siew Peng. Abu Halim diwakili Harbajhan Kaur.-- Bernama



Artikel Lain