suria

Uber Sekat Pemandu Didakwa Berkelakuan Lucah

PETALING JAYA: Syarikat perkongsian kenderaan, Uber menyekat seorang pemandu daripada perkhidmatan itu susulan laporan mengenai insiden di Kota Kinabalu kerana melakukan gangguan seksual terhadap penumpang.

Uber dalam satu kenyataan pada Selasa memberitahu The Star Online bahawa syarikat mengambil serius terhadap dakwaan itu.

"Apa yang ingin dijelaskan bahawa pemandu terbabit tidak akan berkhidmat dalam rangkaian Uber.

"Kita beri jaminan bahawa dakwaan itu diambil secara serius dan garis panduan komuniti kita melarang sebarang kelakuan tidak sopan pemandu sepanjang perjalanan.

"Pemandu tidak akan lagi mempunyai akses dalam aplikasi (rakan Uber) sementara siasatan sedang dijalankan," menurut kenyataan itu.

Menurut uber, ia telah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

Pada Isnin, seorang wanita membuat kenyataan di Facebook sehingga menjadi tular dengan mendakwa pemandu Uber yang dinaikinya menunjukkan kemaluan sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah.

Uber

Artikel Lain