suria

Mahkamah Tinggi Tambah Hukuman Penjara Penguatkuasa DBKL

KUALA LUMPUR: Seorang penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terpaksa meringkuk lebih lama di dalam penjara selepas Mahkamah Tinggi di sini menaikkan hukuman penjara daripada enam bulan kepada dua tahun kerana menipu seorang peniaga, sembilan tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah turut menambah jumlah denda terhadap P. Sugumaran, 46, selaku perayu, daripada RM5,000 kepada RM8,000 bagi pertuduhan sama. 

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang diwakili peguam S.Ramesh dipenjara 12 bulan lagi jika gagal membayar denda tersebut. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim.

Mohamad Shariff membuat keputusan itu selepas menolak rayuan lelaki itu atas sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada 6 Januari 2015 dan memutuskan Hakim Mahkamah Sesyen telah membuat pertimbangan yang wajar sebelum membuat keputusan dengan meneliti semua aspek berhubung kes tersebut.

"Setelah meneliti segala hujahan, wujud pembayaran yang dibuat oleh perayu sama ada menerusi tunai mahupun bank dengan perayu sendiri memberi nombor akaun kepada pengadu. Selepas bayaran dibuat, pengadu cuba mendapatkan penjelasan daripada kamu namun kamu bertindak menghilangkan diri," katanya. 

Sugumaran didakwa memperdaya M.Sathivelu untuk menyerahkan wang tunai sebanyak RM600 dan RM1,200 melalui dua transaksi ke akaun AmBank (M) Bhd. miliknya bagi mendapatkan kelulusan enam tapak pasar malam di Lorong Tunku Abdul Rahman, Masjid India, masing-masing pada pukul 11.34 pagi, 7 Mei 2008 dan pada pukul 1.42 pagi, 29 Mei 2008 di AmBank Cawangan Jalan Pudu di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menurut Seksyen 417 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dengan denda atau kedua-duanya. -- Bernama

DBKL, Sugumaran

Artikel Lain