suria

Kelas Al-Quran Dalam Jet Mewah RM33,000 Sejam

PETALING JAYA: Bayangkan anda mengikuti kelas mengaji al-Quran pada ketinggian 9,000 meter dalam jet peribadi serba mewah bernilai AS$21 juta (RM93.4 juta), tentu sekali ia pengalaman yang mengujakan.

Lebih menarik lagi, turut disediakan pakej untuk memilih destinasi ketika mengikuti kelas mengaji itu sama ada di dalam atau luar negara, termasuk ke Timur Tengah, Arab Saudi, China mahupun Australia.

Pelbagai pakej yang ditawarkan ini berharga ratusan ribu ringgit dan ada pelanggan yang sanggup membayarnya.

Namun orang yang mengendalikan kelas mengaji Ouran ini bukan sebarangan orang kerana ia dikendalikan oleh johan qariah tilawah al-Quran peringkat antarabangsa 2009, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman.

Kelunakan suaranya ketika mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan personalitinya yang disenangi membuatkan Sharifah Khasif mempunyai ramai pengikut setia untuk menimba ilmu dengannya.

Pengalaman baharu yang berbeza ini dicetuskan syarikat yang menguruskan jet peribadi, Elite Jets Sdn Bhd dengan kerjasama Sharifah Khasif Production Sdn Bhd.

Pengurus kepada Sharifah Khasif, Haryati Mohd Tahar berkata, cetusan idea itu telah membuka peluang kepada orang ramai yang berkemampuan untuk merasai pengalaman berbeza semasa mengikuti kelas mengaji.

"Kita menawarkan perkhidmatan ini secara eksklusif buat mereka yang berkemampuan. Kelas mengaji bersama Sharifah Khasif akan dilakukan sekurang-kurangnya sejam untuk penerbangan pergi dan sejam lagi bagi penerbangan pulang," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Menurut Haryati, kelas mengaji mengambil sekurang-kurangnya sejam, diikuti sesi tazkirah dan baki masa penerbangan untuk peserta bersantai dan berehat.

Mengulas lanjut, pakej yang ditawarkan itu bukan sahaja untuk penerbangan pergi balik tetapi juga boleh melibatkan penginapan dan lawatan di destinasi tertentu mengikut permintaan pelanggan, dengan caj berasingan.

Sebuah video dimuat naik di Facebook Sharifah Khasif pada Khamis lalu menunjukkan sesi pengenalan kelas mengaji beliau bersama beberapa anak muridnya di dalam pesawat jenis Falcon 2000 yang bernilai AS$21 juta sebelum ia berlepas ke Dubai dan pulang semula ke tanah air keesokan hari.

Sementara itu, Pengarah Elite Jets, Nik Eleena Zurenee Nik Mustapha memberitahu mStar Online, jet peribadi Falcon tersebut merupakan antara kira-kira 30 pesawat yang diuruskan syarikat itu untuk kelas mengaji bersama Sharifah Khasif.

Bagaimanapun katanya, mereka yang berminat untuk mengikuti kelas mengaji itu akan dikenakan bayaran mengikut caj penerbangan.

"Secara purata, caj penerbangan yang dikenakan adalah lebih kurang AS$7,500 (RM33,400) seorang bagi tempoh sejam. Sebagai contoh, penerbangan ke Dubai mengambil masa tujuh jam dan tujuh jam lagi pulang ke Malaysia.

"Kita juga menawarkan pakej promosi 100 jam penerbangan yang membolehkan pelanggan mengikuti kelas mengaji pada bila-bila masa dalam tempoh setahun ke mana-mana destinasi menggunakan masa penerbangan itu," kata Nik Eleena yang merupakan isteri kepada Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Elite Jets, Kapten Hani Salman Ahmad.

Menurut Nik Eleena, setiap penerbangan boleh membawa antara enam sehingga 13 peserta pada satu-satu masa bergantung kepada keadaan dan jenis pesawat.

Mengenai caj yang dikenakan boleh mencecah ratusan ribu ringgit, Nik Eleena tidak menafikan kebanyakan pelanggan terdiri daripada golongan kenamaan dan kerabat diraja.

Bagaimanapun kata Nik Eleena, terdapat juga tawaran pada kadar lebih rendah untuk masyarakat merasai pengalaman kelas mengaji di dalam jet peribadi.

"Kita buka kepada semua yang berkemampuan. Ada juga kelas mengaji di dalam jet peribadi di lapangan terbang tanpa diterbangkan ke mana-mana, dengan hanya kira-kira RM2,000 sejam," katanya.

Ditanya bilakah penerbangan sulung bagi sesi mengaji tersebut, Nik Eleena berkata, Elite Jets sudah bersedia menjalankan operasi pada bila-bila masa tetapi bergantung kepada jadual Sharifah Khasif dan urusan membabitkan peserta.

Penyertaan kelas mengaji bersama Sharifah Khasif dibuka secara individu atau berkumpulan, dan maklumat lanjut boleh emelkan kepada [email protected] atau WhatsApp ke +60122747918.

Sharifah Khasif, al-Quran, Falcon

Artikel Lain