suria

Dego Ride Jangan Cabar Undang-Undang - Tiong Lai

Liow Tiong Lai.

PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi amaran kepada penyedia perkhidmatan teksi motosikal, Dego Ride supaya tidak mencabar undang-undang dan beroperasi tanpa lesen.

"Kementerian Pengangkutan tidak bersetuju mengenai Dego Ride diberikan lesen untuk membawa penumpang menggunakan motosikal," katanya.

"Dari segi keselamatan jalan raya, jenis perkhidmatan ini tidak akan membantu mengurangkan jumlah kemalangan motosikal yang tinggi setiap tahun. 

"Saya minta Dego Ride untuk tidak mencabar undang-undang Malaysia. Kita mempunyai undang-undang tertentu, seperti Seksyen 23 dalam Akta Pengangkutan Jalan, yang menyatakan bahawa motosikal tidak boleh digunakan untuk tujuan komersial atau untuk membawa penumpang," kata Tiong Lai.

Beliau berkata, di bawah akta berkenaan, pegawai penguat kuasa boleh mengambil tindakan terhadap penunggang motosikal.

"Kita juga akan mempertimbangkan untuk menyamar sebagai penumpang bagi menangkap mereka mengikut akta tersebut," katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan kementerian dan sambutan Tahun Baharu Cina di sini, Isnin.

"Seksyen 16 dan 47 Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyatakan bahawa mana-mana syarikat yang ingin menubuhkan perkhidmatan teksi mesti mempunyai lesen komersial daripada SPAD.

"Dego Ride tidak mempunyai lesen komersial. Ia tidak pernah menghubungi kami dan tidak pernah memohon untuk mendapatkannya.

"Kita berharap rakyat menyedari perkara ini dan menggesa mereka untuk tidak menggunakan perkhidmatan tersebut.

"Ia mungkin mudah semasa kesesakan lalu lintas, tetapi perkhidmatan ini hanya akan mewujudkan lebih banyak masalah keselamatan jalan raya," ujar Tiong Lai.

Dego Ride

Artikel Berikut

Artikel Lain