suria

Bilangan Tenaga Buruh Menurun 0.3 Peratus

GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA: Bilangan tenaga buruh di negara ini pada Disember 2016 adalah 14.79 juta, turun 0.3 peratus berbanding 14.83 juta bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan.

Jabatan itu dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, kadar penyertaan tenaga buruh pada Disember 2016 adalah 67.6 peratus, turun 0.1 mata peratus berbanding bulan sebelumnya.

Perbandingan tahun ke tahun pula menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh pada Disember 2016 turun 0.3 mata peratus berbanding Disember 2015, katanya.

Menurut agensi berita Bernama yang memetik kenyataan jabatan itu, kadar pengangguran di negara ini pada Disember 2016 adalah 3.5 peratus, naik 0.1 mata peratus berbanding bulan sebelumnya dan begitu juga perbandingan tahun ke tahun (Disember ke Disember) meningkat 0.1 mata peratus.

Jabatan itu berkata, maklumat itu diperolehi daripada Penyiasatan Tenaga Buruh (PTB) yang dilaksanakan untuk mengumpul maklumat berkaitan struktur dan taburan tenaga buruh, guna tenaga dan pengangguran di negara ini.

Buruh

Artikel Sebelum

Artikel Lain