suria

Polis Tahan Tekong Bot Karam Sungai Nyamuk Di Lapangan Terbang Tawau

TAWAU: Polis Tawau menahan seorang lelaki dipercayai tekong bot yang karam dipukul ombak ketika membawa 14 warga Indonesia ke Sungai Nyamuk, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata lelaki itu yang dikenali sebagai Juma, 23, ditahan kira-kira 10.30 pagi di balai ketibaan Lapangan Terbang Tawau.

"Selepas insiden bot karam itu suspek dipercayai ke Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Menurutnya penangkapan suspek itu dapat membantu siasatan polis berhubung tragedi tersebut.

Polis sebelum ini dilapor mengesan juragan bot yang dipercayai terselamat dalam tragedi itu.

Lelaki tersebut diselamatkan dua lelaki yang memancing di tengah laut bersama seorang lagi penumpang warga Indonesia.

Setakat ini, 13 daripada 15 mangsa tragedi bot karam itu ditemui.

Daripada jumlah itu, empat terselamat manakala bakinya meninggal dunia.--Bernama

Artikel Lain