suria

Enam Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Rusuhan Di Stadium Batu Kawan

Penyokong yang kecewa menunjuk perasaan dengan menyalakan suar selepas pasukan Pulau Pinang tewas ketika menentang Sarawak pada perlawanan Liga Super 2017 di luar Stadium Negeri Batu Kawan, Sabtu malam.

NIBONG TEBAL: Enam lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian penyokong fanatik Pulau Pinang menimbulkan kekecohan di Stadium Negeri Batu Kawan, dekat sini Sabtu malam.

Kekecohan dikatakan tercetus apabila penyokong fanatik skuad Harimau Kumbang merusuh di luar stadium selepas perlawanan tamat kira-kira pukul 11 malam, yang menyaksikan Pulau Pinang tewas 0-1 kepada Sarawak dalam aksi Liga Super.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supretendan Shafee Abdul Samad berkata semua mereka berusia awal 20-an itu ditahan secara berasingan di sekitar stadium selepas polis berjaya meleraikan kekecohan serta rusuhan itu.

"Polis menahan empat lelaki bersama satu kelongsong suar sebelum menahan seorang lagi yang ketika ditangkap terdapat bersama 12 biji bebola kecil disyaki mercun jenis bola. 

"Seorang lagi ditahan bersama empat biji bebola bersumbu disyaki mercun," katanya di sini, Ahad.

Shafee berkata setakat ini tiada laporan mengenai mangsa yang cedera  atau kerosakan dalam kejadian rusuhan berkenaan.

Beliau berkata enam lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan.

Pada aksi malam tadi, ia merupakan kekalahan keempat berturut-turut skuad Harimau Kumbang dalam empat aksi liga setakat ini.-- Bernama



Stadium Batu Kawan, Liga Super

Artikel Lain