suria

DUN Melaka Tunggu Surat Rasmi Adun DAP Keluar Parti

(dari kiri) Lim Jak Wong, Sim Tong Him, Goh Leong San dan Chin Choong Seong. Foto: Bernama

MELAKA: Dewan Undangan Negeri Melaka memerlukan surat rasmi daripada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP yang keluar parti pada Ahad sebelum membuat keputusan terhadap kedudukan mereka di dewan itu.

Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Othman Muhamad berkata beliau menjangka ketiga-tiga Adun tersebut akan menyerahkan surat itu kepadanya di pejabatnya di Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh di sini pada Isnin.

Beliau berkata adalah kelaziman untuk anggota Adun ditempatkan bersama kelompok parti yang mereka wakili dan apabila mereka keluar parti tempat duduk mereka pada sidang DUN juga akan berubah. 

"Tindakan ketiga Adun berkenaan keluar parti bagaimanapun tidak akan menjejaskan persidangan DUN akan datang," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Tiga Adun berkenaan ialah Lim Jak Wong (Bachang) Chin Choon Seong (Kesidang) dan Goh Leong San (Duyong), manakala anggota Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him daripada DAP juga keluar parti.

Othman berkata selepas menerima surat rasmi tersebut Lim dan Chin akan ditempatkan di kawasan Adun bebas, manakala Goh kekal di kawasan Adun bebas.

Pada 28 Mac tahun lepas Othman mengumumkan Goh adalah Adun bebas dalampersidangan itu setelah menerima surat daripada Adun itu untuk duduk di kawasan Adun bebas. 

Goh digantung keahlian sebagai anggota DAP selama setahun bermula Februari tahun lepas kerana isu disiplin.

DUN Melaka terdiri daripada 28 kerusi, 21 kerusi milik parti Barisan Nasional, enam DAP dan satu PAS, dengan perkembangan terbaharu ini DAP hanya memiliki tiga kerusi DUN.

Sementara itu dalam perkembangan lain, berdasarkan carian di laman sesawang rasmi DAP Malaysia, nama tiga Adun Melaka yang keluar parti telah dikeluarkan daripada senarai Adun Melaka yang mewakili parti itu.

Hanya tiga nama Adun DAP Melaka iaitu Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh), Lai Keun Ban (Kota Laksamana) dan Tey Kok Kiew (Bandar Hilir) masih kekal dalam senarai Adun di laman web parti itu. -Bernama

Adun, Melaka, DAP

Artikel Sebelum

Artikel Lain