suria

Mayat Warga Bangladesh Ditemui Putus Kepala

SHAH ALAM: Mayat seorang lelaki warga Bangladesh dijumpai dalam keadaan kepala terputus di tapak projek pembinaan pangsapuri 20 tingkat di Alam Jaya, Jeram, dekat sini dalam insiden Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ruslan Abdullah berkata badan lelaki berumur 29 tahun itu ditemukan tersangkut pada perancah besi di tingkat 10 dan pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan kepalanya di atas lantai tingkat satu bangunan separuh siap berkenaan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pekerja sub kontraktor itu disyaki dibunuh berikutan terdapat kesan tetakan senjata tajam pada bahagian tengkuk yang mungkin menyebabkan kepalanya terputus daripada badan.

"Kejadian dianggarkan berlaku pada 4 petang, dan siasatan lanjut mendapati seorang lelaki berumur 32 tahun, rakan sekerja mangsa yang juga warga Bangladesh, disyaki terlibat dalam insiden itu.

"Suspek dikatakan menolak mangsa melalui tingkap di tingkat 11 tetapi mayat tersangkut di tingkat 10 manakala kepalanya jatuh di tingkat satu," kata Ruslan dalam kenyataan pada Sabtu.|

Ruslan berkata lelaki itu melarikan diri apabila menyedari rakan-rakan sekerja lain mengetahui tentang kejadian tersebut.

Beliau berkata pembunuhan itu disyaki akibat rasa cemburu suspek terhadap mangsa yang dikatakan menjadi pekerja kesayangan majikan mereka.

"Suspek diberkas awal pagi tadi di sekitar Kuala Selangor dan dia direman hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan," katanya, sambil menambah kedua-dua lelaki itu mempunyai permit kerja yang sah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-Bernama

Mayat tanpa kepala

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain