suria

Kavadi Guna Lambang Nazi, Bukan Swastika Hindu - Polis

Mior Faridalathrash Wahid

GEORGE TOWN: Lambang yang digunakan pada sebuah kavadi tertentu pada sambutan Thaipusam di sini pada Khamis adalah sepadan dengan lambang Nazi dan bukannya lambang suci swastika Hindu, kata Ketua Polis DaerahTimur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid. 

Beliau berkata penggunaan lambang Nazi adalah dikutuk masyarakat dunia dan kebiasaannya kumpulan samseng yang menggunakan lambang Nazi untuk merujuk kepada serangan, keganasan dan kebencian.

"Dalam masyarakat pelbagai kaum di negara kita, kami tidak boleh bertolak ansur atau membiarkan penggunaan lambang Nazi. Perayaan Thaipusam (di negara ini) telah menarik kedatangan pelawat dari seluruh dunia dan kita tidak sepatutnya menggunakan lambang yang dikutuk ini sebagai sebahagian kebudayaan kita," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata peranan polis semasa perayaan Thaipusam ialah untuk memastikan undang-undang dan ketenteraman awam serta keselamatan dan kesejahteraan penganut dan juga pelawat adalah terjamin.

"Ini merupakan keutamaan kami dan kami tidak boleh membiarkan sekumpulan anak muda untuk mencetuskan ketakutan dalam kalangan penganut dan pelawat,"katanya.

Mior Faridalathrash berkata polis menahan sekumpulan 20 anak muda pada sambutan Thaipusam di sini bagi pelbagai kesalahan jenayah, termasuk rompak dan salah guna dadah.

"Sejak ditahan, beberapa daripada mereka termasuk tiga pelajar telah dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang A. Kumaresan yang kesal dengan tindakan polis menahan 20 individu kerana membawa kavadi dengan lambang Nazi.

Katanya berkata polis sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada badan agama Hindu terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.-Bernama

Nazi, Swastika Hindu, Thaipusam, Kavadi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ATM Serah Siasatan Kepada Polis

Artikel Lain