suria

Tengku Abdullah Dukacita Kejadian Budak Perempuan Lemas Akibat Banjir

Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menaiki bot bagi meninjau keadaan banjir di Kampung Temai pada Sabtu.

JERANTUT: Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa dukacita kejadian kanak-kanak perempuan berusia setahun lapan bulan mati lemas akibat banjir Sabtu malam.

Tengku Abdullah bertitah baginda sendiri terkejut apabila dimaklumkan tentang kejadian yang menimpa Siti Nurdarwisyah Abdul Rahman di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan.

"Sebelum ini telah beberapa kali saya ingatkan ibu bapa supaya mengawasi keselamatan anak-anak semasa banjir.

"Bagaimanapun ini adalah ketentuan dan saya berharap keluarga mangsa bersabar menghadapi ujian ini," titah baginda semasa melawat Pusat Pemindahan Banjir di Balai Raya Kampung Simpang Tebing Tinggi di sini, Ahad.

Turut berangkat ialah Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pada masa yang sama, baginda turut menyeru ibu bapa lain supaya menjadikan insiden itu sebagai iktibar agar kejadian yang sama tidak berulang.

Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (empat, kiri) berkenan melayan mangsa banjir mengambil makanan ketika meluangkan masa melawat Pusat Pemindahan Banjir Kampung Tebing Tinggi, Ahad.

Kejadian itu pukul 7.22 petang apabila bapa mangsa Muhammad Firdaus Sazali, 24, menyedari anaknya hilang sebelum meminta jiran membantu mencari anak tunggalnya itu.

Siti Nurdarwisyah ditemui setengah jam kemudian, tidak jauh dari kawasan rumah dalam keadaan tersangkut di celah pokok sebelum dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 9.17 malam.

Sementara itu, baginda menyelar tindakan segelintir remaja yang disifatkan sengaja menempah maut dengan melakukan aksi 'stunt' dengan terjun dari papan tanda "TEMERLOH" yang teletak di Sungai Pahang baru-baru ini.

Pada 28 Jan lalu, video berdurasi selama tujuh saat yang menjadi viral di media sosial memaparkan aksi beberapa remaja terjun dari papan tanda tersebut ke dalam Sungai Pahang yang melimpah akibat banjir. -- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain